Wednesday, 17 September 2014

DIARI SI PEMILIK HATI - Bab 1

Bab 1

Dia mengeluh kuat. Kedua-dua tangan leka meramas-ramas kepala yang tidak terurus. Wajahnya penuh gelisah. Hatinya gusar tidak terkata. Sudah hampir sejam dia berkurung di dalam bilik kerjanya itu. Dia belum lagi menginjak kaki ke bilik sebelah. Sejak dari semalam, dia hanya berada di sini. Memikirkan segala yang terjadi semalam.
Dia pejam mata rapat-rapat. Tubir mata yang lelah menahan air matanya daripada tumpah, juga penat menongkah kelopak kala terasa pedih akibat bersengkang mata semalaman. Malah, pada saat jam di hadapan mejanya berdetik ke angka sepuluh pagi, dia masih belum bersarapan, belum mandi, belum bertukar baju dan paling utama, dia belum kembali ke sana. Belum kembali menjenguk perempuan itu.
Hatinya diragut-ragut mahu mengetahui perkembangan perempuan itu. Jiwanya meronta-ronta mahu tahu. Namun, rasa bersalah yang melangit menegah langkahnya daripada berada di lingkungan mereka. Akhirnya, dia bawa diri ke kamar kecil tersudut di belakang bilik utama miliknya.
Direnung dari berkulit biru di hadapannya. Diari pemberian perempuan itu. Diberikan kepadanya seminggu yang lalu. Sedangkan dia seperti biasanya, berburuk sangka untuk setiap tindakan perempuan itu.
Entah bicara apa yang terngiang-ngiang lewat pendengaran. Entah buah fikiran apa yang terbias lewat taakulnya. Dia sudah merentap pen di meja dan buku diari itu dibelek ke muka surat pertama. Semuanya kosong. Ya, seperti memudahkan tekadnya, menyokong kudratnya setakat ini.

**

12/10/2010
10.24 am

Aku bersalah. Sangat-sangat bersalah padanya. Kalaulah aku boleh undurkan masa, aku tidak akan biarkan perkara itu terjadi padanya. Sumpah! Aku tak sanggup.
Walau betapa sakitnya hati ini. Walau betapa remuknya hati yang dia lukai. Walau betapa jauh dan terhinanya janji yang kami meterai bersama. Aku tetap ingin lihat dia bahagia. Tidak sekelumit kesal yang bersarang dalam jiwa ini perlu dibalas sebegitu rupa. Walau apa pun yang dia lakukan. Walau siapa pun yang dia sakiti. Aku tetap mahu dia tersenyum selalu. Seperti kali pertama aku melihat dia.
“Abang, abang nak beli nasi lemak?” tegur seorang gadis yang tiba-tiba muncul di hadapanku. Aku yang tercungap-cungap menahan lelah selepas berjoging sejauh 400 meter, menegakkan diri. Nafasku semput. Pandangan tersilau dek tepat mengenai mentari yang malu-malu memunculkan dirinya pagi itu. Aku pantas mengecilkan bukaan mata. Sedikit mengintai melihat wajah gadis yang terlindung akibat mentari di belakangnya. Malangnya, terhadang oleh teriknya matahari yang garang menikam ke lubuk mataku.
“Abang, nasi lemak ni panas lagi. Ada lauk sambal ikan bilis, udang dan kerang. Abang nak yang mana? nak satu, dua atau lima. Sepuluh pun boleh, bang.”
Aku hampir-hampir tergelak kala dia menyebut angka sepuluh. Aku bongkokkan badan. Tangan aku letakkan di atas paha. Dalam masa yang sama, aku sedaya-upaya menarik nafas perlahan-lahan. Menenangkan diri. Sempat pula aku melihat kain baju kurungnya yang sedikit terkoyak di bahagian bawah sekali. Dan terselak di sebalik kain itu adalah kakinya yang hanya berselipar jepun berwarna hijau.
Buat pertama kalinya, ada rasa simpati yang menular dalam diri. Dalam zaman sebegini moden, masih ada juga manusia yang tertindas. Terbayang saat-saat aku berada di tempat itu dahulu. Terkenang kembali detik-detik sebak yang sejujurnya telah lama aku lontarkan daripada berlabuh di ingatan lagi.
Aku bangkit setelah beberapa saat termengah-mengah menundukkan diri, merenung jauh ke dasar tanah yang berumput.
“Saya nak…” kata-kataku mati. Gadis itu sudah tiada di situ. Aku melingas memandang sekeliling. Hati terpagut rasa hampa yang sudah untuk aku mengertikan. Mana perginya gadis penjual nasi lemak itu? halimunan kah dia?
“Abang, nak nasi lemak?”
Aku menoleh kala suara itu kedengaran sayup-sayup dari belakang. Hati berasa lega saat aku melihat sesusuk tubuh gadis berbaju kurung berbunga kecil berwarna biru itu berada membelakangiku. Dia sedang sibuk memujuk hati sepasang lelaki dan perempuan lewat 50-an yang sering berjoging di situ. Aku kerap melihat mereka bersama-sama setiap kali berjoging di taman rekreasi ini. Apa yang aku hairan, gadis itu bukanlah pengunjung tetap di sini.
Aku memerhati penuh minat. Sedikit berbangga kala gadis itu berjaya menjual kesemua nasi lemaknya kepada lelaki dan perempuan tadi. Apa yang aku gemari, dia tidak sedikit pun berasa kekok. Keramahannya sangat mengagumkan. Tutur katanya sahaja sudah mencuri senyuman yang sukar untuk aku hadiahkan pada sesiapa pun.
Kala lelaki dan perempuan itu sudah jauh dengan bungkusan nasi lemaknya, aku sempat melihat gadis itu mencampakkan bakul kosong ke udara. Dalam masa yang sama, aku tanpa sedar sudah melangkah menghampiri. Saat kakiku terpacak utuh di hadapannya, saat itu juga dia menyedari kedatanganku. Lalu, dia melayangkan pandangan matanya tepat menyilang ke mataku. Hati tiba-tiba bergetar.
“Maaf bang, abang lambat. Nasi lemak sudah habis,” dia menuturkan ayat itu diiringi senyuman paling manis yang pernah disaksikan mata ini. Aku terkedu. Lidahku kelu melihat sepasang mata beningnya. Wajahnya yang redup dan rasa nyaman dengan hanya menatap wajah itu. Mungkin dia tidaklah secantik Siti Nurhaliza atau ratu cantik dunia. Tetapi matanya itu yang mengusik sesuatu dalam hatiku. Mata yang sungguh sayu rasanya. Seolah-olah tersimpan seribu satu kesukaran dalam hidupnya. Sehingga diri rasa terpanggil untuk menyelak kisah di sebalik kesayuan matanya itu.
“Esok saya datang lagi dan saya simpan sikit nasi lemak untuk abang. Abang nak berapa? Satu, dua atau lima? Sepuluh pun boleh, bang?” sekali lagi, dia membuat aku tak semena-mena diundang tawa. Tawa yang hanya terlontar di dalam hati. Masih kental keperibadianku selama ini. Jarang sekali ada tawa yang terlontar lewat suaraku. Terlalu jarang, sejak kejadian berpuluh tahun yang lalu.
Saat aku berperang dengan belenggu yang menyiat rasa dalam dada, dia berlalu pergi dengan senyuman manisnya. Aku mula mentafsir mungkin senyuman itulah yang memadamkan rasa sayu di sebalik renungan matanya. Senyuman itulah yang membuat dia kuat menggagahi hidupnya yang jelas terbayang kisahnya lewat sinaran mata. Aku yakin dia pasti gadis yang luar biasa. Belum selesai aku membelek tentang gadis itu, dia sudah menghilang daripada pandanganku. Lesap di sebalik pokok-pokok rendang yang meredupkan dan menghadiahkan suasana nyaman di taman rekreasi ini.
Siapa sangka itu adalah satu-satunya pertemuan kami. Pertemuan yang keesokkannya membuat aku tertanya-tanya. Malah, mengundang pelbagai andaian dalam benakku setelah hari demi hari berlalu, dia tidak ku temui lagi.
Siapa juga menyangka setelah hampir setahun, banyak cerita yang tersurat di antara kami. Kisah di sebalik renungan matanya yang sayu sudah aku terokai. Lantaran kisah itulah aku tidak sanggup dia menanggung kisah yang lebih perit daripada itu. Seperti apa yang terjadi semalam.
Maafkan aku seandainya aku yang bersalah. Maafkan aku sekiranya aku yang menjadi punca hidupmu musnah sekali lagi. Aku sangat-sangat menyayangimu. Walau apa pun yang telah berlaku, ketahuilah sayang… aku tetap mencintaimu, seumur hidupku.
Tabahlah, isteriku.
**

            Tidak sanggup mengenangkan apa yang terjadi, dia memejamkan mata seraya meletakkan kepala di atas diari yang sudah ditutup. Kejadian yang berlaku semalam, menampar sebak dalam dirinya. Dia mahu kuat. Dalam masa yang sama dia mahu mati.
            Belum sempat dia terlelap, pintu bilik kerjanya dibuka tanpa salam. Kasar dan berdentum. Serta-merta dia menegakkan diri.
            “Kenapa?” soalnya, bersama debar rasa yang tidak terkawal olehnya. Bulu roma sudah meremang naik saat wajah perempuan di muka pintu itu berperang dengan seribu satu rasa. Ada amarah yang terpancar dalam segenap tubuhnya. Tetapi, ada juga air mata yang tertumpah pada pipinya. Malah, sendu yang masih bersisa itu merentap rasa pasrah yang cuba dirainya.
            “Tina…”
            “Tina sudah mati!” jerit perempuan itu. Merundum harapan yang berada di hujung tanduk sedari tadi. Tanpa diduga, seluruh barang di atas meja ditendang sekuat hatinya. Meja itu ditolak jatuh. Dan akhirnya, dia meraung. Lelaki itu meraung menyesali hidupnya.


No comments:

Post a Comment