Bab
3
Aku
sudah terkejar-kejar sambil mengerling pada jam di pergelangan tangan. Amoi
Cina itu sengaja buat kerja lambat. Sehingga aku rasa macam tak cukup masa
pula. Tinggal dua jam sahaja lagi. Aku tercungap-cungap berlari-lari anak
menuju ke parkir kereta kala jeritan kedengaran dari dalam beg tangan. Bunyi
lagu itu yang menghentikan langkahku.
‘Ah!
Takkanlah dia dah sampai?’ akalku berbicara sendiri sambil tangan sudah
menggagau mencari pinkiku. Deringan
telefon dengan suara bayi kecil ketawa tak henti-henti sengaja aku khaskan
untuk Mikael seorang. Sebab itu, sebaik sahaja lagu itu didendangkan oleh pinkiku aku selalunya terlonjak girang.
Sebaik
sahaja pinkiku berada dalam
genggaman, aku tersenyum melihat nama pemanggil. Terlonjak aku di tengah-tengah
puluhan kereta yang tersusun kemas. Nasib baik tiada yang terperasankan aku.
Malunya. Bayangkan kalau Mikael pula yang muncul di hadapanku sekarang ini…?
Apa nak buat agaknya? Merah dah muka ini.
Pantas,
butang hijau aku sentuh dan tarik ke kanan. Kemudian terkap ke telinga.
“Assalamualaikum,
sayang,”
Jantungku
berhenti berdegup. Suara yang aku rindui. Senyumku bertambah-tambah lebar. Pipi
pula terasa panas dek warna kemerah-merahan. Lidahku kelu tanpa sepatah kata.
“Nira,
sayang…dengar tak,”
“Ehh…dengar.
Ling-ling dah sampai ke? Bukan dua jam lagi ke?” akalku pula sedang berfikir
sesuatu. Tubuh badan pun sudah sedikit menggigil. Kalut aku tiba-tiba. Lantas
pergelangan tangan dibawa ke penglihatan. Betul. Aku tak salah tengok jam. Atau
mungkin jam aku sudah tak betul?
“Sayang
tak jawab salam ling pun. Tak boleh gitu. Memberi salam itu sunat hukumnya,
menjawab salam itu yang wajib.” Kedengaran suara Mikael dengan mukadimah yang
biasanya. Aku mengeluh kecil. Namun, terhibur dengan bahasa panggilan kami
sejak meniti lapan tahun ini. Aku panggil dia ‘ling’ atau ‘ling-ling’ mengambil
ringkasan daripada ‘darling’. Sengaja mengambil kelainan daripada yang sudah
terbiasa. Itupun setelah dia memanggil aku ‘sayang’ atau ‘ayang’. Selesa dengan
panggilan masing-masing, kami jarang membahasakan diri dengan nama. Melainkan
dalam keadaan marah. Kadang-kala, terkeluar juga nama singkatan, nama pena atau
nama penuh sekalipun. Tapi, aku tak pasti sama Mikael ingat nama penuh aku.
Mungkin, masa nikah nanti baru dia nak periksa sekali lagi, agaknya.
“Itu
salah linglah. Dah tahu ayang gitu, buat apa jatuhkan sesuatu yang wajib pada
ayang? Kan tak tertunai oleh ayang,”
“Sayang,
maafkan ling. Bukan…”
“Eh,
tak nak cakap pasal tu. Ling dah sampai ke? Macam mana ling boleh telefon kalau
masih dalam pesawat?” potongku yang sudah kembali cuak.
“Sayang…sayang
belum jawab lagi,” Mikael mengingatkan. Ada nada tegas di hujung bicaranya.
“Waalaikumsalam,”
jawabku, tak ikhlas pun.
“Macam
tu lah sayang, ling. Ling rindu kat sayang,”
“Iya
ke? Ling tak jawab pula soalan ayang,” tuturku laju mengembalikan paku buah
kerasnya sambil muncung dah seinci ke depan. Sengaja buat-buat merajuk pula.
“Ling
dah pm dalam inbox pagi tadi. Mesti sayang tak buka fb ni. Ling tak buka hp
tadi sbb nak jimat bateri. Lagipun, ling nak dengar suara sayang dulu.”
Aku
terhibur dengan penjelasan Mikael itu. Ayat yang hujung itu sangat-sangat
menyentuh hatiku. Semakin memerah rasanya pipiku. Aku sentuh pipi kanan dengan
telapak tangan. Membahang rupanya.
“Eh,
ayang memang tak buka fb. Ling-ling kena delayed
flight lagi ke?” tebakku.
“Bukan
delayed, tukar flight. Nasib baik ada
kosong. Ling ambillah terus. Ling dah balik semalam…”
“Semalam?
Ling balik semalam?” aku ulang tak percaya. Dadaku berdebar semacam. Fikiranku
terbang menerawang kepada kejadian beberapa jam tadi. Serta-merta sahaja sejuk
terasakan menyelinap sehingga ke pipiku.
“Eh,
sayang tak suka ling balik awal ke?” tukasnya, ada nada hampa kedengaran di
hujung talian. Tak mampu menandingi kehampaan yang aku rasakan saat ini.
“Bukan
tak suka. Kalau ling dah balik semalam, kenapa hari ni baru ling cakap kat
ayang? Ling tak rindukan ayang ke?” Nada merajuk yang dibuat-buat tadi sudah
bertukar serius rupanya. Ayat gatal terluah begitu sahaja dari celah bibirku
yang seinci muncungnya tadi. Tak ada malu-malu lagi. Jelas benar hati ini
terguris dengan perkhabaran itu.
“Ah,
takkanlah tak rindu. Sebab rindulah ling balik awal.”
Aduh!
Hatiku dipaut sayang semula. Macam mana tak cair? Wahai hati wahai jiwa, tenang-tenanglah,
sabar-sabarlah, senyum-senyumlah.
“Dah
tu?”
“Ling
ada hal penting. Masalah keluarga. Ling sibuk sangat sekarang ni. Kalau ling free nanti, kita jumpa. Boleh peluk
tak?”
“Hish!
Gatal! Mana boleh,” terjerit aku oleh sikap sengal dia. Sikap yang aku rindui
selama ini.
“Sajalah.
Ling gurau je. Okey sayang, ling ada hal dah ni. Abang dah panggil tu. Nanti
sayang sms kalau ling tak angkat telefon. Ling sibuk beberapa hari ni,”
tuturnya laju sungguh. Terdengar juga suara seseorang di sisinya seakan tak
sabar-sabar lagaknya. Hatiku bagai dicampakkan sebutir bom. Tunggu masa sahaja
mahu meletup ni.
“Maksudnya,
ling memang tak boleh jumpa ayang beberapa hari ni?” soalku, bersabar dan masih
tetap mengharap. Lama aku menanti, Mikael hanya kedengaran mengeluh keras dan
terdesak oleh suara seseorang di sebelahnya. Seakan tak sabar menantinya
memutuskan panggilan telefon. Aku jadi semakin panasaran.
“Maaflah
sayang. Tapi, kita boleh wechat malam
ni. Harap bolehlah,” Mikael masih cuba melayaniku. Masih menabur janji. Namun,
aku dapat rasakan ada ketidak pastian pada ayatnya.
Aku
terdiam. Tidak mahu terus tenggelam dalam syak wasangka. Malah tidak mahu mula
mencurigai kata-katanya.
“Sayang,
ling pergi dulu ya. Nanti ling bagi tahu bila kita boleh jumpa. Oh ya, ling ada
hadiah untuk sayang. Mungkin minggu depan posmen hantar. Harap sayang sukalah,”
Aku
berdecit sedikit. Masih bersedih. Sepatah pun tidak meniti di bibirku. Masih
berkira-kira sesuatu pada benak akalku.
“Assalamualaikum,”
suaranya tiba-tiba kedengaran di hujung talian.
Aku
panik seketika. Hanya terdaya menggigit bibir. Perlukah aku katakan sesuatu?
Tidakkah dia rasa seperti mana aku rasa? Merindui dia siang dan malam.
“Sayang…”
panggilnya lagi. Seakan masih menanti aku memuntahkan sesuatu. Rambut yang
kemas berdandan cantik, mengikal dan berombak lentok aku pintal-pintal dengan
jari. Melepaskan kehampaan yang terbit seketika ini. Sayangnya, dia takkan
dapat melihat keayuanku kala ini. Terbayang-bayang wajah lelaki yang aku rindui
itu. Lalu, aku tutup mata sekilas. Bersedia melepaskan dia sekali lagi.
“Waalaikumsalam,”
balasku seraya menekan butang merah. Aku mengeluh lemah. Harapan berkecai. Hampa
sekali. Wahai hati wahai jiwa, tenang-tenanglah, sabar-sabarlah, dia takkan ke
mana-mana. Mikael sudah pulang!
Berat
kaki yang terasa, melangkah lemah ke arah kereta. Seberat hatiku yang dipaut
resah dan hampa. Walau jauh di dasar hati, aku masih mahu bertemu dia yang aku rindui.
Terpaksa berkubur di lembah merindui sekali lagi.
UP : Bermula pada update akan datang, novel ini akan diberi judul lain. Terima kasih atas teguran pembaca
No comments:
Post a Comment