Thursday 18 September 2014

DIARI SI PEMILIK HATI - Bab 2

Bab 2


            Dia merebahkan diri di atas katil. Bantal bersarung kain kapas putih dibawa menerkup muka sendiri. Dia meraung sekuat hati. Meleraikan sebak yang menyesakkan batin. Jiwanya rabak. Bagaimana perkara itu boleh terjadi? Segala-galanya terlalu indah semalam. Lampu L.E.D berwarna-warni masih tergantung kemas melilit setiap tembok konkrit rumah agam tiga tingkat ini. Kerlipan lampu-lampu itu masih belum dimalapkan. Tiada siapa yang mahu mengusik. Sudah tiada siapa pun yang ambil kisah untuk mematikan suis di tingkat bawah. Juga tidak ada sesiapa pun yang berani mengarah untuk dimatikan.
            Fikiran mereka juga sepertinya. Hanya pada Tina. Apa yang terjadi kepada Tina? Dia sendiri tidak tahu. Lelaki di bilik sebelah ternyata tidak boleh ditanyakan satu soalan pun. Lelaki itu panasaran. Hidupnya musnah seperti mana hancurnya hidup Tina.
            Tetapi, dia sendiri tidak tahu kenapa simpatinya hanya menular dan melimpah-ruah kepada Tina. Walhal lelaki di sebelah biliknya itu sama rabak sepertinya. Lelaki itu hampir-hampir sahaja jadi gila sebentar tadi mengetahui keadaan Tina. Dia tahu betapa sayangnya lelaki itu kepada isterinya. Siapa yang tidak sayangkan Tina? Gadis luar biasa itu merentap dan mengikat kasih sayang setiap penghuni rumah sejak kali pertama dia menjejakkan kaki ke Anggun Agam.
            Dia tidak ingat kali pertama Tina menginjak kaki ke situ. Dia mahu tahu. Sudah terlalu lamakah Tina menjadi sebahagian dalam hidup mereka? Gadis asing itu menjadi seperti keluarga sendiri hanya dengan sekelip mata sahaja. Ajaib kan?
            Dia mengesotkan diri sehingga tangan berjaya mencapai laci di meja yang terletak di tepi katil. Dikeluarkan sebuah diari berwarna hitam. Perlahan-lahan, air mata dikesat dengan lengan bajunya. Dibelek dan diselak lembar demi lembar sehinggalah dia berhenti pada satu muka surat yang dia yakini. Jari telunjuk ditekankan ke dada diari. Bait demi bait dibaca sekadar di dalam hati.


*****
22/06/2010

            Aku tidak sangka begini jadinya. Puas aku menanti tetapi lelaki itu tetap tidak muncul. Aku hubungi telefon bimbitnya berkali-kali, akhirnya masuk ke dalam peti simpanan suara juga. Aku tinggalkan berpuluh-puluh pesanan masih tidak dibalas. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku batalkan perkahwinan ini. Lagipun, ini semua salahnya. Kalau dia temankan aku tadi, tak adalah aku berdiri seorang diri di tepi jalan raya dengan tayar kereta yang pancit.
            Kalaulah abang aku tahu, mesti dia tak benarkan aku keluar membeli-belah seorang diri. Malah, dia pastinya akan mengarahkan tunang aku tu mengambil cuti kerja demi menemaniku. Jadi, pastinya dia tiada alasan untuk tidak bersamaku di sini, hari ini.
            Aku kesat peluh dengan sapu tangan yang aku keluarkan dari beg tangan. Saat aku berniat untuk menghubungi abang atau rumah sahaja, telefon bimbitku mati tiba-tiba. Kehabisan bateri rupanya. Aku merengek sambil mengetuk-ngetuk bumbung kereta Honda Civic berwarna merah pemberian abang sempena majlis perkahwinanku yang bakal berlangsung dua minggu lagi.
            “Cik, nak nasi lemak?” satu suara menegur di belakangku. Aku tersentak. Serta-merta aku menegakkan diri dan memandangnya penuh curiga.
            “Cik, nak nasi lemak? Saya ada jual nasi lemak udang, ikan bilis dan kerang,” ulangnya, menapak mendekati sambil membuka penutup raga yang dibimbitnya.
            Aku merungut di dalam hati. Namun, sekecil-kecil senyuman tetap melayang di hujung bibir. Sekalipun terasa hambar, aku cuba berbahasa-basi. Lalu, aku geleng kepala tanpa memandang nasi lemak dalam raganya.
            “Cik, kereta rosak ke?”
            ‘Tak, tengah makan angin. Bodoh!’ hati mengulum makian. Takkanlah dia tak nampak apa yang terjadi pada keretaku. Tanya pula soalan bodoh.
            Gadis itu memandang kiri dan kanan. Agaknya mencari orang lain bersamaku. Bukannya dia tak nampak aku seorang diri sahaja di tepian jalan yang sedikit lengang. Tetapi, senyuman gadis itu meruap sedikit resah yang membukit sedari tadi. Sekurang-kurangnya, aku berteman.
            “Kenapa cik tak tukar tayar kereta sahaja?” dia sekadar bertanya dan aku pula yang tergamam. Tidak tahu mahu memberikan jawapan yang mana satu. Aku tidak pernah tukar tayar kereta. Selalunya dilakukan oleh abang-abangku, atau para pekerja. Atau aku hantar ke bengkel kereta. Tidak ada keperluan untuk aku berbuat begitu.
            Agaknya, jawapan itu jelas terlukis di hamparan wajahku. Tanpa menanti aku bersuara, dia sudah meletakkan raga berisi nasi lemak di tanah berbatu dan sedikit berumput itu. Aku tidak menduga apa yang bakal terjadi seterusnya.
            “Tak apa cik. Saya boleh tolong. Saya dah biasa tukar tayar kereta.” Dia menawarkan diri sambil menggulung lengan baju kurungnya sejengkal sahaja. Rambut yang sudah terikat kemas digulung sekali lagi dan diikat lebih tinggi. Aku masih terpaku.
            “Cik tak kisahkan kalau saya tolong?” akhirnya dia bertanya saat aku tercengang tidak percaya. Anak mata menular dari hujung kaki ke hujung rambutnya itu. Membelek dan menimbang tara kesudian gadis yang badannya kurus kering macam orang tak cukup makan itu.
            “Awak boleh buat ke?” akhirnya, aku layangkan rasa sangsi dengan kening yang menjungkit sekali. Dibalas pula dengan senyuman yang meleret. Mahu sahaja aku menolak lagi jika bukan kerana renungan matanya itu. Sayu dan redup sekali. Belum pernah aku temui mana-mana manusia yang mempunyai mata sesayu itu. Serta-merta menjemput rasa simpati yang tiba-tiba sahaja muncul.
            “Cik jangan risau. Saya dah biasa buat kerja ni,” tuturnya, seraya menapak ke belakang kereta. Aku tiada pilihan selain membuka pintu belakang kereta sebelum mengikuti langkahnya.
            Saat dia bersusah-payah mengeluarkan tayar spare di belakang kereta, aku terpaksa membantu dia mengangkat tayar itu. Sesuatu yang tidak pernah aku lakukan.
            “Terima kasih. Maaf kotorkan tangan cik,” ujarnya yang sudah menggolekkan tayar kereta seperti seorang pakar. Kesangsian itu tetap bersarang.
            “Tolong ambilkan jack,” sambungnya. Aku berpaling ke bahagian but kereta. Keningku bertautan. Aku pernah dengar nama tu tapi yang mana satu. Dia muncul dengan senyuman yang aku rasa seolah-olah mengejek diriku.
            “Ini jack. Saya pun tak tahu kenapa orang namakan benda ni jack. Tapi 3 benda ni memang perlu kalau nak ganti tayar,” katanya, seakan mahu mengajarku. Aku terkebil-kebil tetap mengangguk. Melihat sahaja dia mengangkat jack tu dengan kedua-dua tangannya. Aku andaikan benda besi tu mungkin berat juga. Dia kemudiannya memuncungkan bibirnya, menunjuk pula kepada dua lagi besi kecil yang aku kira pemutar skru dan satu lagi yang aku tak tahu. Aku kena tolong dia. Lalu, aku angkat kedua-dua besi itu dan menapak bersamanya.
            “Cik ni mesti tak pernah tukar tayar kereta?” dia menduga sambil meletakkan jack itu ke bawah perut kereta. Aku lihat dia mengambil besi kecil tadi dan memusing-musing sekuat tenaganya dengan muka yang kemerah-merahan. Sesekali dia melemparkan pandangan padaku dan diiringi pula senyuman manis sekali. Ah! Kasihannya aku tengok.
            Mula-mula, tiada perubahan pada keretaku. Sedikit pun tidak terangkat. Apa yang terdengar hanyalah deru nafasnya yang semakin kencang dan memberat. Aku dihambat rasa bersalah yang amat.
            “Awak tak perlulah buat. Kasihan kat awak. Kalau awak ada telefon, saya nak pinjam. Nak telefon abang saya datang,” aku meneruskan niat yang awal tadi melihat kesusahan gadis itu. Dia tetap tersenyum. Betapa ramahnya dia.
            “Tak mengapa. Jangan risau. Sepuluh minit sahaja ni boleh siap. Saya biasa buat,” sekali lagi dia menegaskan. Aku tetap tidak percaya. Apatah lagi, ketika dia bergelut membuka rim tayar dan terloncat-loncat di atas pemutar skru untuk menanggalkan nut. Tapi, benar katanya, dia sudah menggagahkan diri membuka tayar kereta yang pancit itu.
            Sekonyong-konyong aku terloncat suka hati. Tak sangka betullah pula. Dia jungkit-jungkit kening dengan senyuman ala-ala badut itu sangat-sangat menggelikan hatiku. Apa pun, aku benar-benar bersalah. Aku tidak sepatutnya mengukur kebolehannya hanya memandang keadaan dirinya. Orang kata, don’t judge a book by it’s cover.
           
***
            Belum selesai membaca, telefon bimbit menjerit nyaring sekali. Dia terloncat dari katil. Segera mendapatkan telefon yang menghantar pesanan ringkas. Dia membaca sepintas lalu. Pun begitu, debaran di dadanya menusuk sehingga melemahkan lutut. Nafasnya kembali sesak. Tanpa berlengah, dicampakkan semula telefon itu ke dalam beg dan dia bergegas keluar dari bilik.
            Beberapa langkah, dia terhenti sebaik sahaja mendengar jeritan dari dalam bilik di sebelahnya. Pintu ditolak kuat. Anak matanya membuntang kala melihat bilik yang berselerakan. Lelaki di bilik itu pegun menekur potret Tina di dada lantai. Bingkai gambar patah, cermin retak tidak tercantumkan. Dia benar-benar ‘berkecai’ bersama serpihan cermin-cermin di lantai.

            Bunyi jeritan telefon di dalam beg sekali lagi menyentak gadis itu. Dia kembali memikirkan tentang Tina. Persetankan lelaki itu. Padan dengan muka dia. Bersama debar yang memalu tanpa henti, gadis itu kembali bergegas meninggalkan Anggun Agam buat kali ke tiganya pagi itu.

Wednesday 17 September 2014

DIARI SI PEMILIK HATI - Bab 1

Bab 1

Dia mengeluh kuat. Kedua-dua tangan leka meramas-ramas kepala yang tidak terurus. Wajahnya penuh gelisah. Hatinya gusar tidak terkata. Sudah hampir sejam dia berkurung di dalam bilik kerjanya itu. Dia belum lagi menginjak kaki ke bilik sebelah. Sejak dari semalam, dia hanya berada di sini. Memikirkan segala yang terjadi semalam.
Dia pejam mata rapat-rapat. Tubir mata yang lelah menahan air matanya daripada tumpah, juga penat menongkah kelopak kala terasa pedih akibat bersengkang mata semalaman. Malah, pada saat jam di hadapan mejanya berdetik ke angka sepuluh pagi, dia masih belum bersarapan, belum mandi, belum bertukar baju dan paling utama, dia belum kembali ke sana. Belum kembali menjenguk perempuan itu.
Hatinya diragut-ragut mahu mengetahui perkembangan perempuan itu. Jiwanya meronta-ronta mahu tahu. Namun, rasa bersalah yang melangit menegah langkahnya daripada berada di lingkungan mereka. Akhirnya, dia bawa diri ke kamar kecil tersudut di belakang bilik utama miliknya.
Direnung dari berkulit biru di hadapannya. Diari pemberian perempuan itu. Diberikan kepadanya seminggu yang lalu. Sedangkan dia seperti biasanya, berburuk sangka untuk setiap tindakan perempuan itu.
Entah bicara apa yang terngiang-ngiang lewat pendengaran. Entah buah fikiran apa yang terbias lewat taakulnya. Dia sudah merentap pen di meja dan buku diari itu dibelek ke muka surat pertama. Semuanya kosong. Ya, seperti memudahkan tekadnya, menyokong kudratnya setakat ini.

**

12/10/2010
10.24 am

Aku bersalah. Sangat-sangat bersalah padanya. Kalaulah aku boleh undurkan masa, aku tidak akan biarkan perkara itu terjadi padanya. Sumpah! Aku tak sanggup.
Walau betapa sakitnya hati ini. Walau betapa remuknya hati yang dia lukai. Walau betapa jauh dan terhinanya janji yang kami meterai bersama. Aku tetap ingin lihat dia bahagia. Tidak sekelumit kesal yang bersarang dalam jiwa ini perlu dibalas sebegitu rupa. Walau apa pun yang dia lakukan. Walau siapa pun yang dia sakiti. Aku tetap mahu dia tersenyum selalu. Seperti kali pertama aku melihat dia.
“Abang, abang nak beli nasi lemak?” tegur seorang gadis yang tiba-tiba muncul di hadapanku. Aku yang tercungap-cungap menahan lelah selepas berjoging sejauh 400 meter, menegakkan diri. Nafasku semput. Pandangan tersilau dek tepat mengenai mentari yang malu-malu memunculkan dirinya pagi itu. Aku pantas mengecilkan bukaan mata. Sedikit mengintai melihat wajah gadis yang terlindung akibat mentari di belakangnya. Malangnya, terhadang oleh teriknya matahari yang garang menikam ke lubuk mataku.
“Abang, nasi lemak ni panas lagi. Ada lauk sambal ikan bilis, udang dan kerang. Abang nak yang mana? nak satu, dua atau lima. Sepuluh pun boleh, bang.”
Aku hampir-hampir tergelak kala dia menyebut angka sepuluh. Aku bongkokkan badan. Tangan aku letakkan di atas paha. Dalam masa yang sama, aku sedaya-upaya menarik nafas perlahan-lahan. Menenangkan diri. Sempat pula aku melihat kain baju kurungnya yang sedikit terkoyak di bahagian bawah sekali. Dan terselak di sebalik kain itu adalah kakinya yang hanya berselipar jepun berwarna hijau.
Buat pertama kalinya, ada rasa simpati yang menular dalam diri. Dalam zaman sebegini moden, masih ada juga manusia yang tertindas. Terbayang saat-saat aku berada di tempat itu dahulu. Terkenang kembali detik-detik sebak yang sejujurnya telah lama aku lontarkan daripada berlabuh di ingatan lagi.
Aku bangkit setelah beberapa saat termengah-mengah menundukkan diri, merenung jauh ke dasar tanah yang berumput.
“Saya nak…” kata-kataku mati. Gadis itu sudah tiada di situ. Aku melingas memandang sekeliling. Hati terpagut rasa hampa yang sudah untuk aku mengertikan. Mana perginya gadis penjual nasi lemak itu? halimunan kah dia?
“Abang, nak nasi lemak?”
Aku menoleh kala suara itu kedengaran sayup-sayup dari belakang. Hati berasa lega saat aku melihat sesusuk tubuh gadis berbaju kurung berbunga kecil berwarna biru itu berada membelakangiku. Dia sedang sibuk memujuk hati sepasang lelaki dan perempuan lewat 50-an yang sering berjoging di situ. Aku kerap melihat mereka bersama-sama setiap kali berjoging di taman rekreasi ini. Apa yang aku hairan, gadis itu bukanlah pengunjung tetap di sini.
Aku memerhati penuh minat. Sedikit berbangga kala gadis itu berjaya menjual kesemua nasi lemaknya kepada lelaki dan perempuan tadi. Apa yang aku gemari, dia tidak sedikit pun berasa kekok. Keramahannya sangat mengagumkan. Tutur katanya sahaja sudah mencuri senyuman yang sukar untuk aku hadiahkan pada sesiapa pun.
Kala lelaki dan perempuan itu sudah jauh dengan bungkusan nasi lemaknya, aku sempat melihat gadis itu mencampakkan bakul kosong ke udara. Dalam masa yang sama, aku tanpa sedar sudah melangkah menghampiri. Saat kakiku terpacak utuh di hadapannya, saat itu juga dia menyedari kedatanganku. Lalu, dia melayangkan pandangan matanya tepat menyilang ke mataku. Hati tiba-tiba bergetar.
“Maaf bang, abang lambat. Nasi lemak sudah habis,” dia menuturkan ayat itu diiringi senyuman paling manis yang pernah disaksikan mata ini. Aku terkedu. Lidahku kelu melihat sepasang mata beningnya. Wajahnya yang redup dan rasa nyaman dengan hanya menatap wajah itu. Mungkin dia tidaklah secantik Siti Nurhaliza atau ratu cantik dunia. Tetapi matanya itu yang mengusik sesuatu dalam hatiku. Mata yang sungguh sayu rasanya. Seolah-olah tersimpan seribu satu kesukaran dalam hidupnya. Sehingga diri rasa terpanggil untuk menyelak kisah di sebalik kesayuan matanya itu.
“Esok saya datang lagi dan saya simpan sikit nasi lemak untuk abang. Abang nak berapa? Satu, dua atau lima? Sepuluh pun boleh, bang?” sekali lagi, dia membuat aku tak semena-mena diundang tawa. Tawa yang hanya terlontar di dalam hati. Masih kental keperibadianku selama ini. Jarang sekali ada tawa yang terlontar lewat suaraku. Terlalu jarang, sejak kejadian berpuluh tahun yang lalu.
Saat aku berperang dengan belenggu yang menyiat rasa dalam dada, dia berlalu pergi dengan senyuman manisnya. Aku mula mentafsir mungkin senyuman itulah yang memadamkan rasa sayu di sebalik renungan matanya. Senyuman itulah yang membuat dia kuat menggagahi hidupnya yang jelas terbayang kisahnya lewat sinaran mata. Aku yakin dia pasti gadis yang luar biasa. Belum selesai aku membelek tentang gadis itu, dia sudah menghilang daripada pandanganku. Lesap di sebalik pokok-pokok rendang yang meredupkan dan menghadiahkan suasana nyaman di taman rekreasi ini.
Siapa sangka itu adalah satu-satunya pertemuan kami. Pertemuan yang keesokkannya membuat aku tertanya-tanya. Malah, mengundang pelbagai andaian dalam benakku setelah hari demi hari berlalu, dia tidak ku temui lagi.
Siapa juga menyangka setelah hampir setahun, banyak cerita yang tersurat di antara kami. Kisah di sebalik renungan matanya yang sayu sudah aku terokai. Lantaran kisah itulah aku tidak sanggup dia menanggung kisah yang lebih perit daripada itu. Seperti apa yang terjadi semalam.
Maafkan aku seandainya aku yang bersalah. Maafkan aku sekiranya aku yang menjadi punca hidupmu musnah sekali lagi. Aku sangat-sangat menyayangimu. Walau apa pun yang telah berlaku, ketahuilah sayang… aku tetap mencintaimu, seumur hidupku.
Tabahlah, isteriku.
**

            Tidak sanggup mengenangkan apa yang terjadi, dia memejamkan mata seraya meletakkan kepala di atas diari yang sudah ditutup. Kejadian yang berlaku semalam, menampar sebak dalam dirinya. Dia mahu kuat. Dalam masa yang sama dia mahu mati.
            Belum sempat dia terlelap, pintu bilik kerjanya dibuka tanpa salam. Kasar dan berdentum. Serta-merta dia menegakkan diri.
            “Kenapa?” soalnya, bersama debar rasa yang tidak terkawal olehnya. Bulu roma sudah meremang naik saat wajah perempuan di muka pintu itu berperang dengan seribu satu rasa. Ada amarah yang terpancar dalam segenap tubuhnya. Tetapi, ada juga air mata yang tertumpah pada pipinya. Malah, sendu yang masih bersisa itu merentap rasa pasrah yang cuba dirainya.
            “Tina…”
            “Tina sudah mati!” jerit perempuan itu. Merundum harapan yang berada di hujung tanduk sedari tadi. Tanpa diduga, seluruh barang di atas meja ditendang sekuat hatinya. Meja itu ditolak jatuh. Dan akhirnya, dia meraung. Lelaki itu meraung menyesali hidupnya.


Thursday 1 May 2014

KEKASIH aku DIKEBAS orang! (Bab 3)

Bab 3

Aku sudah terkejar-kejar sambil mengerling pada jam di pergelangan tangan. Amoi Cina itu sengaja buat kerja lambat. Sehingga aku rasa macam tak cukup masa pula. Tinggal dua jam sahaja lagi. Aku tercungap-cungap berlari-lari anak menuju ke parkir kereta kala jeritan kedengaran dari dalam beg tangan. Bunyi lagu itu yang menghentikan langkahku.

‘Ah! Takkanlah dia dah sampai?’ akalku berbicara sendiri sambil tangan sudah menggagau mencari pinkiku. Deringan telefon dengan suara bayi kecil ketawa tak henti-henti sengaja aku khaskan untuk Mikael seorang. Sebab itu, sebaik sahaja lagu itu didendangkan oleh pinkiku aku selalunya terlonjak girang.

Wednesday 30 April 2014

Jujur, Aku Cinta Kamu (Bab 3)

Bab 3

“Ingat Isya, dalam ikatan perkahwinan, tolak dan ansur itu amat perlu.”Aisya Umaira sekadar mengangguk. Di dalam keadaan masih berteka teki akan penerimaan suaminya, Aisya Umaira tidak berani memberi jaminan.

“Ibarat memegang dua hujung seutas tali, jika suami menegangkan, isteri haruslah mengendurkan tali itu. Jika kedua-dua menarik, tidak mustahil tali itu akan putus,” umi tidak putus menitipkan pesanan kepada puteri sulungnya itu.

Walaupun bukan lahir dari rahimnya sendiri, kasih sayang Umi kepada Aisya Umaira tidak perlu dipertikaikan lagi.

Monday 28 April 2014

JEBAT - Hero Hikayat Cinta (Bab 3)

Bab 3

Dira di dalam bilik seperti cacing kepanasan. Entah kenapa dia juga tidak selesa dengan teater muzikal kali ini. Cerita kisah percintaan Penyair Bidasari yang hanya sebagai teman pengiring Tuan Puteri Lemah Gemalai yang akhirnya jatuh cinta dengan Panglima yang dikenali ramai dengan Hang Tuah. Rasa cinta yang mekar di hatinya kala rindu jika tidak bertemu.  Apakah disebabkan mereka membawa watak itu, hingga timbul perasaan sayang dalam diam? `Arhhh, entah-entah aku sahaja yang rasa begitu. Orang di sana entah apa yang difikirkan.’ Tersenyum Dira sendirian.

Saturday 26 April 2014

Jujur, Aku Cinta Kamu (Bab 2)

Bab 2

Malam itu, sepatutnya malam istimewa bagi Aisya Umaira bersama suami, tetapi suaminya memilih untuk mengikut keluarganya pulang dan akan datang keesokan harinya. Tidak mustahil esok, selepas majlis kesyukuran, suaminya akan pulang juga bersama keluarganya.

Aisya Umaira menarik nafas panjang. Ke manakah hala tuju hidupnya selepas ini? Memang beginikah nasib seorang gadis yang bernikah di atas aturan keluarga? Mungkinkah luka lama akan berdarah kembali?

Andai itu terjadi, sudah pasti lukanya akan lebih pedih dari sebelum ini. Dahulu, Aisya Umaira sekadar tunangan orang. Tetapi sekarang, Hubungan itu sudah melangkah lebih jauh. Andai terlerai ditengah jalan, pasti lukanya akan lebih dalam.