Bab
2
Dia merebahkan diri di atas katil.
Bantal bersarung kain kapas putih dibawa menerkup muka sendiri. Dia meraung
sekuat hati. Meleraikan sebak yang menyesakkan batin. Jiwanya rabak. Bagaimana
perkara itu boleh terjadi? Segala-galanya terlalu indah semalam. Lampu L.E.D
berwarna-warni masih tergantung kemas melilit setiap tembok konkrit rumah agam
tiga tingkat ini. Kerlipan lampu-lampu itu masih belum dimalapkan. Tiada siapa
yang mahu mengusik. Sudah tiada siapa pun yang ambil kisah untuk mematikan suis
di tingkat bawah. Juga tidak ada sesiapa pun yang berani mengarah untuk
dimatikan.
Fikiran mereka juga sepertinya.
Hanya pada Tina. Apa yang terjadi kepada Tina? Dia sendiri tidak tahu. Lelaki
di bilik sebelah ternyata tidak boleh ditanyakan satu soalan pun. Lelaki itu
panasaran. Hidupnya musnah seperti mana hancurnya hidup Tina.
Tetapi, dia sendiri tidak tahu
kenapa simpatinya hanya menular dan melimpah-ruah kepada Tina. Walhal lelaki di
sebelah biliknya itu sama rabak sepertinya. Lelaki itu hampir-hampir sahaja
jadi gila sebentar tadi mengetahui keadaan Tina. Dia tahu betapa sayangnya
lelaki itu kepada isterinya. Siapa yang tidak sayangkan Tina? Gadis luar biasa
itu merentap dan mengikat kasih sayang setiap penghuni rumah sejak kali pertama
dia menjejakkan kaki ke Anggun Agam.
Dia tidak ingat kali pertama Tina
menginjak kaki ke situ. Dia mahu tahu. Sudah terlalu lamakah Tina menjadi
sebahagian dalam hidup mereka? Gadis asing itu menjadi seperti keluarga sendiri
hanya dengan sekelip mata sahaja. Ajaib kan?
Dia mengesotkan diri sehingga tangan
berjaya mencapai laci di meja yang terletak di tepi katil. Dikeluarkan sebuah
diari berwarna hitam. Perlahan-lahan, air mata dikesat dengan lengan bajunya.
Dibelek dan diselak lembar demi lembar sehinggalah dia berhenti pada satu muka
surat yang dia yakini. Jari telunjuk ditekankan ke dada diari. Bait demi bait
dibaca sekadar di dalam hati.
*****
22/06/2010
Aku tidak sangka begini jadinya.
Puas aku menanti tetapi lelaki itu tetap tidak muncul. Aku hubungi telefon
bimbitnya berkali-kali, akhirnya masuk ke dalam peti simpanan suara juga. Aku
tinggalkan berpuluh-puluh pesanan masih tidak dibalas. Kalau ikutkan hati, mahu
sahaja aku batalkan perkahwinan ini. Lagipun, ini semua salahnya. Kalau dia
temankan aku tadi, tak adalah aku berdiri seorang diri di tepi jalan raya
dengan tayar kereta yang pancit.
Kalaulah abang aku tahu, mesti dia
tak benarkan aku keluar membeli-belah seorang diri. Malah, dia pastinya akan
mengarahkan tunang aku tu mengambil cuti kerja demi menemaniku. Jadi, pastinya
dia tiada alasan untuk tidak bersamaku di sini, hari ini.
Aku kesat peluh dengan sapu tangan
yang aku keluarkan dari beg tangan. Saat aku berniat untuk menghubungi abang
atau rumah sahaja, telefon bimbitku mati tiba-tiba. Kehabisan bateri rupanya.
Aku merengek sambil mengetuk-ngetuk bumbung kereta Honda Civic berwarna merah
pemberian abang sempena majlis perkahwinanku yang bakal berlangsung dua minggu
lagi.
“Cik, nak nasi lemak?” satu suara
menegur di belakangku. Aku tersentak. Serta-merta aku menegakkan diri dan
memandangnya penuh curiga.
“Cik, nak nasi lemak? Saya ada jual
nasi lemak udang, ikan bilis dan kerang,” ulangnya, menapak mendekati sambil
membuka penutup raga yang dibimbitnya.
Aku merungut di dalam hati. Namun,
sekecil-kecil senyuman tetap melayang di hujung bibir. Sekalipun terasa hambar,
aku cuba berbahasa-basi. Lalu, aku geleng kepala tanpa memandang nasi lemak
dalam raganya.
“Cik, kereta rosak ke?”
‘Tak, tengah makan angin. Bodoh!’
hati mengulum makian. Takkanlah dia tak nampak apa yang terjadi pada keretaku.
Tanya pula soalan bodoh.
Gadis itu memandang kiri dan kanan.
Agaknya mencari orang lain bersamaku. Bukannya dia tak nampak aku seorang diri
sahaja di tepian jalan yang sedikit lengang. Tetapi, senyuman gadis itu meruap
sedikit resah yang membukit sedari tadi. Sekurang-kurangnya, aku berteman.
“Kenapa cik tak tukar tayar kereta
sahaja?” dia sekadar bertanya dan aku pula yang tergamam. Tidak tahu mahu
memberikan jawapan yang mana satu. Aku tidak pernah tukar tayar kereta.
Selalunya dilakukan oleh abang-abangku, atau para pekerja. Atau aku hantar ke
bengkel kereta. Tidak ada keperluan untuk aku berbuat begitu.
Agaknya, jawapan itu jelas terlukis
di hamparan wajahku. Tanpa menanti aku bersuara, dia sudah meletakkan raga
berisi nasi lemak di tanah berbatu dan sedikit berumput itu. Aku tidak menduga
apa yang bakal terjadi seterusnya.
“Tak apa cik. Saya boleh tolong.
Saya dah biasa tukar tayar kereta.” Dia menawarkan diri sambil menggulung
lengan baju kurungnya sejengkal sahaja. Rambut yang sudah terikat kemas
digulung sekali lagi dan diikat lebih tinggi. Aku masih terpaku.
“Cik tak kisahkan kalau saya
tolong?” akhirnya dia bertanya saat aku tercengang tidak percaya. Anak mata
menular dari hujung kaki ke hujung rambutnya itu. Membelek dan menimbang tara
kesudian gadis yang badannya kurus kering macam orang tak cukup makan itu.
“Awak boleh buat ke?” akhirnya, aku
layangkan rasa sangsi dengan kening yang menjungkit sekali. Dibalas pula dengan
senyuman yang meleret. Mahu sahaja aku menolak lagi jika bukan kerana renungan
matanya itu. Sayu dan redup sekali. Belum pernah aku temui mana-mana manusia
yang mempunyai mata sesayu itu. Serta-merta menjemput rasa simpati yang
tiba-tiba sahaja muncul.
“Cik jangan risau. Saya dah biasa
buat kerja ni,” tuturnya, seraya menapak ke belakang kereta. Aku tiada pilihan
selain membuka pintu belakang kereta sebelum mengikuti langkahnya.
Saat dia bersusah-payah mengeluarkan
tayar spare di belakang kereta, aku
terpaksa membantu dia mengangkat tayar itu. Sesuatu yang tidak pernah aku
lakukan.
“Terima kasih. Maaf kotorkan tangan
cik,” ujarnya yang sudah menggolekkan tayar kereta seperti seorang pakar.
Kesangsian itu tetap bersarang.
“Tolong ambilkan jack,” sambungnya. Aku berpaling ke
bahagian but kereta. Keningku bertautan. Aku pernah dengar nama tu tapi yang
mana satu. Dia muncul dengan senyuman yang aku rasa seolah-olah mengejek
diriku.
“Ini jack. Saya pun tak tahu kenapa
orang namakan benda ni jack. Tapi 3 benda ni memang perlu kalau nak ganti
tayar,” katanya, seakan mahu mengajarku. Aku terkebil-kebil tetap mengangguk.
Melihat sahaja dia mengangkat jack tu dengan kedua-dua tangannya. Aku andaikan
benda besi tu mungkin berat juga. Dia kemudiannya memuncungkan bibirnya,
menunjuk pula kepada dua lagi besi kecil yang aku kira pemutar skru dan satu
lagi yang aku tak tahu. Aku kena tolong dia. Lalu, aku angkat kedua-dua besi
itu dan menapak bersamanya.
“Cik ni mesti tak pernah tukar tayar
kereta?” dia menduga sambil meletakkan jack itu ke bawah perut kereta. Aku
lihat dia mengambil besi kecil tadi dan memusing-musing sekuat tenaganya dengan
muka yang kemerah-merahan. Sesekali dia melemparkan pandangan padaku dan
diiringi pula senyuman manis sekali. Ah! Kasihannya aku tengok.
Mula-mula, tiada perubahan pada
keretaku. Sedikit pun tidak terangkat. Apa yang terdengar hanyalah deru
nafasnya yang semakin kencang dan memberat. Aku dihambat rasa bersalah yang
amat.
“Awak tak perlulah buat. Kasihan kat
awak. Kalau awak ada telefon, saya nak pinjam. Nak telefon abang saya datang,”
aku meneruskan niat yang awal tadi melihat kesusahan gadis itu. Dia tetap
tersenyum. Betapa ramahnya dia.
“Tak mengapa. Jangan risau. Sepuluh
minit sahaja ni boleh siap. Saya biasa buat,” sekali lagi dia menegaskan. Aku
tetap tidak percaya. Apatah lagi, ketika dia bergelut membuka rim tayar dan
terloncat-loncat di atas pemutar skru untuk menanggalkan nut. Tapi, benar
katanya, dia sudah menggagahkan diri membuka tayar kereta yang pancit itu.
Sekonyong-konyong aku terloncat suka
hati. Tak sangka betullah pula. Dia jungkit-jungkit kening dengan senyuman
ala-ala badut itu sangat-sangat menggelikan hatiku. Apa pun, aku benar-benar bersalah.
Aku tidak sepatutnya mengukur kebolehannya hanya memandang keadaan dirinya.
Orang kata, don’t judge a book by it’s
cover.
***
Belum selesai membaca, telefon
bimbit menjerit nyaring sekali. Dia terloncat dari katil. Segera mendapatkan
telefon yang menghantar pesanan ringkas. Dia membaca sepintas lalu. Pun begitu,
debaran di dadanya menusuk sehingga melemahkan lutut. Nafasnya kembali sesak.
Tanpa berlengah, dicampakkan semula telefon itu ke dalam beg dan dia bergegas
keluar dari bilik.
Beberapa langkah, dia terhenti
sebaik sahaja mendengar jeritan dari dalam bilik di sebelahnya. Pintu ditolak
kuat. Anak matanya membuntang kala melihat bilik yang berselerakan. Lelaki di
bilik itu pegun menekur potret Tina di dada lantai. Bingkai gambar patah, cermin
retak tidak tercantumkan. Dia benar-benar ‘berkecai’ bersama serpihan
cermin-cermin di lantai.
Bunyi jeritan telefon di dalam beg
sekali lagi menyentak gadis itu. Dia kembali memikirkan tentang Tina.
Persetankan lelaki itu. Padan dengan muka dia. Bersama debar yang memalu tanpa
henti, gadis itu kembali bergegas meninggalkan Anggun Agam buat kali ke tiganya
pagi itu.