Usai
solat maghrib, Dira ke dapur menolong maknya menyediakan makan malam untuk
mereka sekeluarga. Abah baru saja pulang dari kerja. Abang masih di hadapan,
menonton televisyen. Setelah siap semua terhidang di atas meja, Dila memanggil
ayah dan abang.
“Mak,
abah, abang… makanlah. Dira tak makan… `diet’,” terang Dira.
Mak,
abah dan abangnya begitu faham dengan perangai Dila. Mana mahunya makan malam
dan abangnyalah yang menjadi mangsa menghabiskan lauk-pauk itu. Dira yang sudah
berada di ruang tamu menjengah kepalanya menghala ke luar beranda rumah, seakan
terdengar namanya di seru-seru. `Isk… maghrib pun tak habis waktu lagi dah nak
menakut aku’ ngomel Dira sendirian. Melingas matanya ke kiri dan kanan.
“Dira,
Dira, ni… akulah Aizat,” seru Aizat sekali lagi.
Terkejut
Dira bukan main. `Buat apa pulalah mamat ni… dah malam pun nak ganggu orang
ke?’ sekali lagi Dira bersuara perlahan.
“Dira,
sinilah. Tolong Aizat. Mengenai permentasan teater tu…” rayu Aizat.
“Ye,
sabarlah… nak tutup dulu televisyen ni. Membazir elektrik pula nanti,” balas
Dira.
“Dira,
Dira, dengan siapa pula kamu bercakap tu?” tegur abahnya. Kedengaran tidak
bermaya.
“Dira
dengan Aizat, abah… kat beranda rumah ni,” balas Dira perlahan.
Dira
memerhati wajah monyok di hadapannya, seperti berat sungguh beban yang
ditanggungnya waktu ini. “Mengapa, kanda… wajahmu bermuram begitu rupa? Hingga
seram tubuh dinda melihatnya,” mendayu suara Dira menyoal dalam gaya bahasa
teater yang sedang mereka lakonkan.
“Isk…
Dira ni, Aizat serius tau tak? Buat lawak bolehkan. Aizat taulah, Aizat tak
cekap menghayati watak, tak pantas melakukan mimik muka kala bersandiwara
dengan kata-kata cinta…” keluh Aizat.
Dira
yang berada dihadapan Aizat bertambah pelik dengan sahabatnya itu. Ditenung
wajah Aizat dalam samar cahaya lampu neon. Dira akui, dia bersama Aizat bagai
hempedu lekat di hati. Acapkali bila Aizat susah hati atau menghadapi masalah,
pasti dirinya yang akan dicari. Begitulah sebaliknya, Dira akan mencari Aizat
untuk melepaskan tekanan yang dihadapinya. Sekali lagi Dira mencuit bahu Aizat
dalam masa yang sama bahunya diangkat-angkat.
Sambil
meramas rambutnya yang tebal tersisir rapi, Aizat meluahkan isi hatinya. “Bukan
apa Dira, minggu depankan latihan teater…” belum habis Aizat meluahkannya Dira
terus memotong kata Aizat.
“Kenapa
dengan minggu depan? Aizat tak yakin dengan persembahan Aizat? Cuba terangkan
kat Dira, bahagian mana yang buat Aizat rasa susah sangat nak curahkan?”
sambung Dira tanpa menunggu luahan hati Aizat.
“Itu,
okay Dira. Cuma bila masa kita berpadu suara tu… Aizat tak yakin boleh menjiwai
atau tak? Lagi satu… suara ni, bukannya merdu pun. Hendak samakan dengan suara
Dato Jamal Abdillah, penyanyi tersohor tu… lagi la. Jauh panggang dari api,”
terang Aizat sambil menunjukkan anak tekaknya.
Ketawa
Dira mengekek hingga terlimpah butir-butir mutiara. Cepat disekanya dengan
hujung jarinya. Aizat yang melihat menarik muka empat belas sambil menjuihkan
bibirnya. Dalam masa sama memalingkan wajahnya mengintai waktu yang terlekat di
dinding ruang tamu rumah Dira.
“Aizat,
apa kata kalau esok pagi… kita pergi berjoging. Itu salah satu buat Aizat untuk
tambah stamina bila berlagu nanti,” cadang Dira.
Mengalih
pandangan tanpa sebarang jawapan. Dira terdiam seketika. Tidak tahu apa yang
terlintas difikiran Aizat. Tin biskut yang sedari tadi berada di atas meja di
beranda rumah segera dicapainya. Lalu di buka penutupnya dan mengambil sekeping
biskut lemak manis, langsung dihulurkan kepada Aizat. Dalam diam huluran itu
disambut dengan senyuman.
“Dira,
biskut aje ke? Air tak ada? Pergilah ambil air… dari tadi bersembang. Kering
tau tekak ni?” Arah Aizat tanpa rasa malu. Merah merona wajah Dira dibuatnya.
Kelam kabut dia bangun dan terus menuju ke dapur. Di pertengahan jalan bertembung
pula dengan Abang Nazim. Dari lagak Abang Nazim, Dira sedar abangnya tidak suka
adiknya dikunjungi kawan lelaki malam-malam begini.
“Mana…?”
tegur abang Nazim dengan wajah kelat.
“Dapur,
ambil air,” jawab Dira.
Sedang
dia membancuh air di dapur untuk Aizat, terdengar suara abangnya dan Aizat
tiba-tiba bertelagah pendapat. `Aduh! Mereka berdua ni… memang tak boleh jumpa.
Ada aja perbualan yang terungkit… hingga terbangkit semua benda dalam rumah
ni,’ ngomel Dira lagi. Air yang telah siap dibawanya keluar.
“Abang!
Dengan Aizat pun nak bergaduh ke? Malam ni tajuk apa pulak yang digaduhkan?”
soal Dira sambil menghulur air kepada abangnya dan juga Aizat.
“Tajuknya,
nak tahu ke?” soal Abang Nazim. Belum sempat Dira menjawab, “tajuknya Tak Malu
Datang Rumah Anak Dara Orang Malam-Malam,” sambung Abang Nazim lagi sambil
menghembus asap rokoknya ke arah Dira.
“Dahlah
Dira, senak perut Aizat dengan bau pencemaran udara ni. Aizat balik dululah.
Esok jam berapa nak mula joging?” soal Aizat.
“Jam
7.00 pagilah, Aizat datang sini dulu. Lepas tu baru kita joging dari sini,”
terang Dira.
Aizat
terus meninggalkan Dira bersama abangnya tanpa pamitan. Geram Dira dengan sikap
abangnya. Entah mengapa abangnya selalu tidak setuju angin bila melihat Aizat
ada dengannya. Sedangkan mak dengan abah pula sedikit tidak pernah melarang.
“Abang!
Selalu tau buat Aizat macam tu. Salah ke kami nak berbual? Bukan bual kosong
tau tak? Ni bual mengenai teater muzikal kat sekolah yang kami sertai,” terang
Dira kepada abangnya saat dia melihat mata
abangnya yang menikam tajam anak matanya.
“Tak
habis-habis dengan teater. Ingat Dira, tahun ni kamu tu ambil peperiksaan STPM…
jangan leka?” nasihat Abang Nazim dicatat dalam hati.
“Insya-Allah,
abang. Tahulah Dira nak buat macam mana. Cuma satu pinta Dira, abang janganlah
layan Aizat macam musuh. Keluarga kita dan keluarga dia dah lama berjiran.
Takkanlah kerana cinta abang yang tak kesampaian dengan Kak Watie, habis semua
abang larang berkawan,” tegur Dira dengan sikap abangnya.
Terdiam
Nazim. Ditenung wajah mulus di hadapannya. Dira, adik yang satu-satunya menjadi
harapan keluarga agar dapat menyambung pengajian ke menara gading. Itulah
harapan mak dan abah. Dira telah lama menghilang ke dalam rumah, yang
kedengaran hanya suara dari corong pembesar suara televisyen. Tidak pasti siapa
yang menontonnya. Nazim masih lagi di luar. Kata-kata adiknya sebentar tadi
terus membuai rasa. Satu-demi satu kenangan itu kembali terbentang di
hadapannya.
Watie,
Rosmawatie. Suatu masa dahulu pernah bermukim di hati. Cinta sejak zaman
sekolah. Hanya Watie, idaman di hati. Bertahun lamanya cinta bersemi. Segala
lafaz janji termaktub dalam satu ikatan suci. Namun tidak siapa menduga. Cinta
tiba-tiba beralih arah. Ikatan pertunangan diputuskan. Walaupun dia terima
dengan hati yang terbuka, namun masih ada kesan yang terpalit di jiwa. Luka
yang tiada parutnya. Luka yang tidak tampak di mata. Cuma hati dan perasaan
menanggung derita. Namun terkadang masih ramas jantungnya. Masih terbayang
diingatannya, setiap awal bulan… dia akan membawa watie ke Bandar Kangar
menghiburkan buah hati yang tersayang.
“Watie,
abang kerja kilang aje. Harap Watie sudi terima abang seadanya. Kita bertunang
dulu ye,” tutur Nazim lembut sambil mengunyah mee goreng yang masih panas berasap.
“Watie
tak kisah bang. Cuma Watie risau mak dan abahlah. Bukan abang tak tahu sikap
abah, Watie? Bila datang angin puting beliung habis semua berterbangan. Tambah
bila hubungan kita yang sejak di bangku sekolah lagi, dia tak berapa nak suka?”
balas Watie.
“Sabar
Watie, selagi kita jujur sesama kita. Ikhlas dalam perhubungan, abang yakin
impian kita pasti nyata. Doakan sahaja,” lirih Nazim sambil menyedut teh ais
yang sudah cair ais batunya.
Merenung
bulan yang mengambang, diri menjadi bimbang. Hingga kini masih bujang,
sedangkan Watie sudah punya anak sepasang. Sesekali bila pulangnya Watie ke
kampung, Nazim pasti menghilang. Tidak sanggup dia melihat insan yang pernah
disayanginya bermesra di hadapan mata.
Dira
yang sedari tadi mematikan dirinya, tatkala melihat abangnya mengelamun jauh
turut bersimpati dengan nasibnya. Memang pada mulanya keluarga mereka berdendam
dengan keluarga Aizat. Senang-senang memutuskan pertunangan anak mereka dengan
abangnya tanpa sebarang alasan, sedangkan mereka bercinta dan suka antara satu
sama lain. Dira hingga kini tidak mengerti kenapa semua itu berlaku. Doanya
semoga suatu hari nanti abangnya bertemu pengganti.
“Abang,
abang… sudahlah merenung bulan. Takkan jatuh walau abang memanahnya… yang pergi
tu biarkan. Bunga bukan sekumtum bang…” tegur Dira sambil mencuit bahu
abangnya. Terperanjat Nazim.
“Dira
ni… suka buat abang terkejut tau, mujur tak terjatuh puntung rokok ni kat badan
abang,” balas Nazim sambil membuntangkan matanya memandang Dira.
“Abang,
janji dengan Dira… jangan marah-marah Aizat lagi. Kami satu sekolah, satu
kelas… dah lah dia tu jarang berkawan. Kawan dia cuma Dira je… bang,” lirih
Dira.
Nazim
renung wajah adiknya. Adik yang dia sayangi, takut dia kalau adik dia juga
menerima perkara yang sama dengannya. `Apakah Dira sekuat dirinya? Isk… yang
aku fikir pasal mereka kenapa… tak nampakpun mereka macam orang bercinta.’
Ngomel Nazim sendirian.
“Dahlah
dik, pergilah masuk tidur. Dengar kata kau nak jogging esok kan?” tegur abangnya.
Dira
membalas kata-kata abangnya dengan senyuman. Mak dan abah sudah lama menghilang
dir dalam bilik tidur mereka.
“Abang…
jangan berembun lama di luar. Nanti tolong tutup lampu dan jangan lupa kunci
pintu rumah,” tegur Dira sebelum dia juga menghilangkan diri ke dalam bilik.
No comments:
Post a Comment