Monday 28 April 2014

JEBAT - Hero Hikayat Cinta (Bab 3)

Bab 3

Dira di dalam bilik seperti cacing kepanasan. Entah kenapa dia juga tidak selesa dengan teater muzikal kali ini. Cerita kisah percintaan Penyair Bidasari yang hanya sebagai teman pengiring Tuan Puteri Lemah Gemalai yang akhirnya jatuh cinta dengan Panglima yang dikenali ramai dengan Hang Tuah. Rasa cinta yang mekar di hatinya kala rindu jika tidak bertemu.  Apakah disebabkan mereka membawa watak itu, hingga timbul perasaan sayang dalam diam? `Arhhh, entah-entah aku sahaja yang rasa begitu. Orang di sana entah apa yang difikirkan.’ Tersenyum Dira sendirian.


Dira masih lagi termenung di meja tulisnya, bangun dan melangkah menuju ke jendela bilik. Jendela pintu lalu dibuka seluas-luasnya. Menderu angin malam menerjah wajahnya. Dalam kepekatan malam, Dira mendongak ke atas melihat bulan, seakan tersenyum melihat dirinya. `Oh bulan, apakah benar bunga kasih mulai tumbuh dalam hati ini?’ soal Dira. 

Melirik ke arah jam dinding di biliknya, Dira kembali menutup jendela pintu rapat-rapat. Menghanyun langkah menuju ke pembaringan, merebahkan tubuhnya ke tilam empuk sambil meluruskan kakinya dan merenung syiling biliknya yang kekuning warnanya. Semakin lama kelopak matanya semakin rapat terkatup.

Enak Dira dibuai mimpi, tersedar bila kedengaran pintu bilik diketuk dari luar. kelam kabut Dira bangun dan menuju ke pintu bilik. Tercongok mak di depan muka pintu. Terkebil-kebil Dira melihat emaknya tersenyum sambil mengosok kedua-dua matanya dengan telapak tangan. Dira bersuara.

“Mak, kenapa kejutkan Dira pagi-pagi ni…? Dira cuti. Uzur mak…” rengek Dira manja.

“Dira lupa ye. Semalam, bukan janji dengan Aizat nak berjoging pagi ni?” soal Mak Tom.

“Dah! Pergi siap. Aizat ada kat luar tu,” jelas maknya. Mak Tom terus meninggalkan Dira yang masih lagi kebingungan. Menggaru kepalanya dan kembali masuk ke dalam bilik, mengambil kain tuala dan terus menuju ke dapur. Dira melihat ayahnya sudah siap ingin keluar berkerja.  Begitulah ayah, tak pernah kenal erti lelah. Selagi boleh bekerja… selagi itulah dia akan bekerja. Ayah cuma bekerja sendiri. Bekerja sebagai pemandu teksi.

Tersenyum Dira melihat ayahnya. Tersenyum bangga Pak Samad dengan anak gadisnya. Cantik… persis muka maknya semasa muda, sambil membelai rambut anak gadisnya… Pak Samad bersuara.

“Awal pagi dah nak keluar? Nak ke mana, nih?” soal Pak Samad dalam masa yang  sama menghirup baki air kopi di dalam cawannya.

“Nak joging ayah. Sama Aizat,” jawab Dira jujur.

Dira melemparkan senyuman kepada ayahnya sambil melangkah menuju ke bilik air. Disentuhnya air yang bertakung di dalam kolah. Menggigil Dira kesejukan. Sejurus siap, Dila keluar dari bilik air. Kelibat ayah sudah tiada. Sudah pasti pergi. Segera Dira berlari-lari anak menuju ke biliknya. `Ala kadar sudah,’ bisik Dira dalam hatinya. Sempat lagi dia membuka pintu tingkapnya. Menjenguk ke luar, dapat dia melihat susuk tubuh sahabat baiknya itu. `Tak sangkakan Aizat, dari kecik kita berkawan. Dah besar kau… tampan pulak tu.’ Lagi sekali Dira berkata sambil tersenyum bangga.

“Maaf ya, Aizat. Lambat bangun. Mujur mak kejutkan,” terang Dira sambil tangannya menyarung kasut sukan.

“Tak apa… janji dapat joging dengan Dira,” balas Aizat.

“Jom…” balas Dira. Menarik tangan Aizat tanpa sedar. Terhoyong-hayang Aizat mengikut langkah Dira.

Jelas tergambar keriangan di wajah Aizat. Biarpun letih namun masih mampu tersengeh memandang Dira yang ketinggalan di belakang. Angin pagi yang dingin, suara unggas menyanyi merdu membuat Dira terfikir sesuatu. Menghampiri Aizat yang sedang duduk di kerusi, Dira mendepangkan tangan sambil mengadap ke arah bukit dan mula menjerit, “ Sayaaaa! Bahagiaaaa!” Aizat yang melihat kehairanan lalu menegur Dira.

“Wey… Dira, kau buat apa tadi tu?” soal Aizat. Lalu bangun dan mendekati Dira yang masih lagi dengan senaman ringannya.

Di angkatnya kedua tangannya ke atas dan ke bawah. Berlari-lari setempat, sehingga Aizat yang tadinya diam berdiri turut mengikuti pergerakkan Dira. Selang beberapa minit, Dira dengan perlahan-lahan memberhentikan pergerakkannya. Melepaskan lelah nafasnya dan mula melabuhkan punggungnya di kerusi yang telah disediakan .

“Aizat, mulai hari ini… Dira nak Aizat kurangkan minuman sejuk,” cadang Dira termengah-mengah.

“Alaaa, kenapa pula?” balas Aizat ringkas. Anak matanya tidak lepas memandang Dira.

“Ye laa, supaya nafas tu tak semput. Tak terbatuk-batuk bila berlagu,” terang Dira, dalam masa yang sama terus bangun dan memulakan langkahnya semula.

Dira masih bersemangat untuk meneruskan larian. Namun ditahan oleh Aizat. Butir-butir jernih jelas kelihatan di dahinya. Perlahan-lahan mengalir membasahi raut wajahnya. Dira yang sudah biasa berjoging ketawa melihat Aizat yang keletihan. Masakan lari yang tidak sampai satu jam sudah kelihatan tidak berdaya. Sedangkan dirinya masih belum merasa puas.

“Kenapa? Dah semput. Baru je larikan… tak sampai satu jam pun. Tu… gua kelam pun tak kelihatan lagi,” tegur Dira sambil mengatur langkah perlahan-lahan.

Aizat yang mengikuti dari arah belakang, tidak bersuara. Cuma bergerak perlahan. Dibiarnya Dira di hadapan. Dia harus kuat seperti semangat Dira. Berlari-lari anak, Dira sempat berlagu. Lagu untuk teater muzikal mereka… `boleh tahan juga suara budak ni,’ bisik Aizat dalam hati.
Melihat keadaan Aizat yang semakin jauh ketinggalan di belakang. Dira memperlahankan lariannya. Indah terasa waktu pagi begini. Apatah lagi berada dilereng bukit gua kelam. Sawah padi yang luas terbentang saat padi masak menguning, begitu ceria sekali. Di bahu jalan Dira melabuhkan punggungnya sambil bernyanyi, lagu yang bakal mereka dengdangankan nanti Mawar Putih Tanda Perpisahan. Lagu nyanyian Jamilul Hayat adik penyanyi tersohor Dato Jamal Abdillah.

`Pergilah Kandaku Sayang
Pergilah Nyawa
Dinda Tetap Menanti Penuh Setia
Demi Ibu Pertiwi
Perjuangan Kanda
Dinda Doa Sejahtera
Dan Berjaya….’

Tak sangka Dira, sambil berdiri mendepangkan tangannya, Aizat menyambung senikata lagu itu dengan penuh semangat. Melemparkan pandangan terus ke tengah sawah. Suara yang lantang dan jelas begitu terkesan di hati Dira.

`Pilu Sebak Dada
Meninggalkan Dinda Bersendirian
Namun Aku Berjanji
Engkau Dewi
Sanjungan Dijiwaku…’

Sehabis mungkin Aizat berlagu, menjiwai watak. Dira yakin teater kali ini akan meletup seperti tahun-tahun yang lepas. Dira kembali bangun bila Aizat menghabiskan senikata lagu itu.

“Okay pun suara tu…” tegur Dira.

“Okay ke macam tu… betullah cakap Dira. Rasa puas bila Aizat laungkan tadi. Wah… macam ni tiap-tiap minggu kena datang berjoginglah ye,” balas Aizat sambil tersengeh berlari meninggalkan Dira.


“Aizat! Nak pergi mana lagi tu? Jomlah patah balik. Dah jauh kita ni…” laung Dira bila melihat Aizat dengan lagak seorang pelari handalan meninggalkannya.

No comments:

Post a Comment