Thursday, 24 April 2014

JEBAT - Hero Hikayat Cinta (Bab 1)


“Wei! Penyair Bidasari. Jangan kau bertingkah begini! Berpijak di bumi, ikut resmi padi. Derhaka pada sang guru ya. Ku panggil Hang Tuah, meminjam keris sakti... hukuman harus setimpal. Mahaguru tidak dikenali?” lirih suara Puteri Lemah Gemalai menegur sahabatnya.

“Wahai Puteri Lemah Gemalai, sanggup kau menikamku dengan keris sakti kepunyaan Hang Tuah. Di mana kata janjimu...? sahabat tetap sahabat. Walaupun pertelingkahan hanya di sebabkan jeruk mangga,” balas Penyair Bidasari sambil membawa diri. `Dagang Pak Malau, dagang merantau. Dagang aku... terkena santau jeruk manggamu,’ ngomel Penyair Bidasari sekali lagi.

“Sudah kuagak, Penyair Bidasari berjiwa sensitif. Jiwang karat rupanya. Nampak kasar di luar, sekali puteri mengkasari... lari merajuk membawa diri,” terang Puteri Lemah Gemalai membuka bicara.

“Bukan kerana jeruk ini wahai Penyair Bidasari. Cuba kau melingas sekali lagi. Pasti kau kenali empunya gerangan yang meminta jeruk ini,” sekali lagi Puteri Lemah Gemalai bersuara.

“Kasih kusulam berbau duka. Duhai puteri, jangan derhaka. Pulang semula keris sakti kepada empunya diri. Rajuk ku tiada siapa yang ingin memujuk. Puteri, di manakah menghilangnya Hang Jebat, Hang Nadim, Hang Kasturi dan Hang Lekir? Cuba carikan mereka, agar segera kau temui Hang Jebat. Supaya dapat memujuk hatiku yang sering gundah gelana ini,” begitu lirih suara Penyair Bidasari. Nampak sangat rindunya kepada Hang Jebat.

“Sudah kau cakap sejarah takkan berulang kembali. Haruskah cerita Hang Tuah dan Hang Jebat berulang kembali?” soal Puteri Lemah Gemalai sambil membetulkan selendang yang menutupi sebahagian rambutnya.

“Hang Nadim belum pulang daripada bertapa, Hang Jebat sibuk bertikam lidah dengan bendahara, Hang Kasturi masih menghadap Sang Raja, menerima titah perintah dan Hang Lekir masih diulit mimpi dinihari begini,” sambung Puteri Lemah Gemalai sekali lagi. Kali ini puteri berjalan menuju ke taman bunga yang berdekatan.

Puteri Lemah Gemalai menyusuri taman bunga itu dengan sebuah lagu. Merdu suara tuan puteri bak buluh perindu. Bertuah sungguh Hang Tuah memiliki tuan puteri. Lagu Berkorban Apa Saja, sungguh luar biasa bunyi, bisa mengeluarkan air dari telaga bagi yang mendengarnya.

“Sudahlah tuan puteri, sedih pula ambe mendengarnya. Sudahlah ambe lagi rindukan Hang Jebat yang sehingga kini belum nampak bayangnya. Atau sudah bencikah Hang Jebat kepada ambe, tuan puteri?” soal Penyair Bidasari seraya menatap wajah tuan puteri. Namun, yang terdampar di raut wajahnya sebuah senyuman. Tanpa suara, tuan puteri pergi meninggalkan Penyair Bidasari keseorangan yang masih menanti jawapannya.

“Sudah berulang kali kisahnya diulang tayang. Tidak pernah jemu ambe meyaksikannya. Kerana kasihkan Hang Jebat dan lagu Berkorban Apa Saja... pengubat rindu ambe padanya,” keluh Penyair Bidasari. Kain kecil yang sentiasa berada di tangannya dibawa ke telaganya yang hampir pecah.

“Nanti kupanggilkan Hang Jebat untuk memujuk. Janganlah berduka lagi wahai Penyair Bidasari. Jeruk ini nanti bertambah kelat dan masam sekali,” nasihat tuan puteri sambil menghulur jeruk mangga yang sedari tadi berada di pengangannya.

Tiba-tiba suara hulubalang yang bijaksana lagi berani berlawan senjata menegur, “Apa yang tuan puteri dan tuan ambe bualkan. Hinggakan dari tadi Hang Jebat berdiri di belakang tuan ambe tidak disedari.”

Serentak itu tuan puteri berpaling menghadap Penyair Bidasari seraya berkata "Itu Hang Jebat sudah sampai."

Lalu, Penyair Bidasari tersenyum tidak ketahuan. Rindukan Hang Jebat dan tergesa-gesa berlari keluar dari taman meninggalkan tuan puteri terpinga-pinga sendirian. Tahulah kini Hang Jebat, kekasih hatinya juga merindui seperti mana dia merindui Penyair Bidasari. Tuan puteri yang mengerti akan kehendak nulari Hang Jebat segera bersuara, “Pergilah kejar, pujuk… agar rajuknya hilang, biar bertambah sayang,” nasihat tuan puteri kepada Hang Jebat.
“Biarlah tuan puteri, cahaya suria pun sudah samar-samar kelihatan. Lembayung merah pula yang kelihatan menerangi dada langit yang terbentang indah. Biarlah hamba pulang dahulu. Nanti tuan puteri tolong khabarkan kepadanya… katakana hamba menunggunya di tempat biasa,” balas Hang Jebat sambil meminta izin untuk kembali ke rumahnya.

Tanpa menunggu jawapan dari tuan puteri, Hang Jebat sambil mengiringi tuan puteri berjalan berdua hinggalah tiba di istana tuan puteri. Kelihatan Hang Tuah sedang menantinya dengan pandangan penuh kasih dan cinta. Sehinggakan timbul perasaan cemburu di hati Hang Jebat. Bukan dengkikan percintaan mereka, tapi berharap percintaannya dengan Penyair Bidasari juga begitu.

Hang Jebat dengan hati yang berbunga riang, sepurnama tidak bertemu kekasih idaman hati menanti dengan penuh debar. Taman permainan yang sering mereka bertemu tatkala menemani Hang Tuah dan Puteri Lemah Gemalai memadu kasih. Daripada musuh di awal perkenalan hingga kini putik bunga mulai bercambah mekar di tangkai hati. Meresapi ke jiwa nan sepi. Bak kata pepatah pujangga, dari mata turun ke hati… begitulah yang sedang dirasai oleh pasangan ini.

Dari jauh melihat Penyair Bidasari melihat Hang Jebat duduk di atas kerusi batu sambil kakinya menguis-guis rumput. Dari wajahnya yang tanpa, senyuman manis dan matanya yang bulat menambahkan keistimewaan di hati Penyair Bidarsari. 

Langkah perlahan merapati kekasih hati, tiba-tiba timbul niat jahat di hatinya ingin mengusik Hang Jebat. Lantas di ambilnya anak batu yang kebetulan berada di tepinya. Belum sempat dia membuat sesuatu, ada suara yang menegurnya.

“Jangan buang masa, sayang. Kanda sudah lama perasaan yang dinda berada di belakang kanda…” tegur Hang Jebat membuatkan Penyair Bidasari tersipu malu. Sambil meyambut huluran tangan Hang Jebat, Penyair Bidasari terdiam tanpa suara.

Genggaman tangan semakin erat dan dengan rela hati mengikut langkah Hang Jebat sehingga tiba di kerusi yang disediakan di taman permainan itu. Suara unggas sayup-sayup kedengaran memecah kesunyian malam. Ternyata bukan mereka berdua sahaja yang sedang memadu kasih. Hang Tuah dan Puteri Lemah Gemalai juga setia menemani mereka.
"Wahai kanda, dulu dinda pernah bertanya kepada kanda. Kenapa kita harus bertemu di saat bulan separuh," soal Penyair Bidasarie kepada Hang Jebat sambil membetulkan selendang yang menutupi rambutnya.

"Kerana kita akan menjadi separuh bila kita bertemu, wahai sayangku Penyair Bidasarie," balas Hang Jebat sambil merenung wajah kesayangannya. Tangan yang digenggam semakin erat seperti tidak mahu dilepaskan.

Lafaz kata yang diluahkan dari bibirnya serta senyuman yang dilemparkan ke arah Penyair Bidasari membuatkan dirinya terus mencatat apa yang dikatakan oleh Hang Jebat dalam ingatan. Hang Jebat, dalam kesuraman cahaya yang ditemani cahaya rambulan mula bermain dengan madah pujangganya.

Desir angin memecah sunyi,
kicau burung menyeri pagi,
cinta Ilahi cinta hakiki,
pengubat lara duka insani. ~ Hang Jebat.

Kicau burung menyeri pagi, 
terbit mentari indah berseri, 
sudah kutahu cinta Ilahi cinta hakiki, 
yang kuinginkan cinta duniawi,
cinta yang lahir dari hati, 
bersemi di sanubari. ~ penyair bidasarie

“`Cut off’ Okay cantik dah. Lusa kita sambung latihan lagi sekali dan minggu depan kita adakan latihan sepenuhnya dengan pakaian bangsawan yang di sediakan. Saya minta semua sila beri kerjasama dan jaga permakanan serta kesihatan masing-masing,” nasihat Cikgu Rogayah selaku guru penasihat dan guru lakon tari dalam kelab kebudayaan.

“Saya juga minta kamu Dira, Aizat, Hidayah dan Nazrul selaku watak utama. Tolong ye, bagi kerjasama lebih sikit dan kamu Dira dan Aizat… tolonglah jangan bergaduh. Ini cerita kamu tahu tak? Bukan cerita Hang Tuah!” sambung Cikgu Rogayah dalam masa yang sama sempat menepis tangan Aizat yang ingin menarik tudung Dira.

Sehabis bicara, Cikgu Rogayah meninggalkan mereka yang masih lagi berada di dalam dewan sekolah. Kebanyakkan yang lain telah lama meninggalkan sekolah memandangkan hari sudah menganjak ke petang. Hidayah dan Nazrul juga telah meninggalkan mereka. Kebetulan Hidayah dan Nazrul tinggal berdekatan dan mereka sering datang dan pulang dari sekolah bersama-sama. Seperti ada bibit-bibit cinta di anatara mereka berdua. Mungkin sebab itulah watak Hang Tuan dan Puteri Lemah Gemalai begitu sesuai dengan mereka.

“Aizat, tunggulah Dira. Kita balik sama,” jerit Dira bila melihat Aizat sudah jauh meninggalkannya di belakang.

Aizat tidak mengendahkan panggilan Dira, semakin kuat kayuhannya. Dira yang arif dengan perangai Aizat membiarkan sahaja. Malas dia hendak mengejar… lagipun hari dah lewat petang… nanti lain pula jadinya.

Memasuki simpang rumahnya, Mak Tom yang kebetulan berada di bawah pohon mangga terus menegur anaknya, "Dira, kat atas meja di dapur tu ada sedikit kuih. Tertutup dengan tudung saji. Makcik Senah kau yang bagi. Katanya kuih lompong."

Melompong Dira mendengarnya. Hairan Dira. ‘Sejak bila pula Makcik Senah aku, merangkap jiran baik mak aku ni... rajin membuat kuih,’ ngomel Dira sendirian sambil brrjalan menuju ke dapur.

"Mak! Mak!" laung Dira dari dapur.

Mak Tom yang sedang mengangkat kain di jemuran terlompong kehairanan mendengar anak gadisnya menjerit-jerit memanggil namanya. Ditinggalnya kain baju di atas kerusi di ruang tamu lalu bergegas ke dapur. Melompong kedua-dua beranak itu bila yang terhidang hanyalah piring kosong. Kelam kabut Mak Tom dibuatnya. Tergaru-garu dia memikirkan bagaimana kuih yang masih penuh di dalam piring itu boleh hilang tanpa berbaki.

“Mak, masa Makcik Senah bagi kuih tu… siapa ada kat rumah?” soal Dira sambil melingas matanya memerhati sekitar dapur rumahnya.

“Eh! Dira, kau jangan cuba nak menakut-nakutkan mak. Mana ada orang? Abah kau kerja? Abang kau pun kerja? Ishhhh… tak kanlah ada toyol kat rumah kita ni, Dira…” jawab Mak Tom. Langkah kakinya menghala ke pintu belakang rumahnya.

No comments:

Post a Comment