Bab
2
Anak
mataku melirik ke jam di dashboard
kereta. Tinggal empat jam lagi Mikael akan sampai. Masih sempat kalau aku
singgah di pusat membeli-belah. Teringin pula nampak cantik di hadapan kekasih
hati. Walaupun, aku tahu dia sentiasa menerima apa pun seadaku.
Kereta
kancil pemberian abangku, sudah mula memasuki Mid Valley Megamall sewaktu
telefon aku menjerit-jerit lagu Semalam Tanpamu dendangan Stacey dan KRU menandakan
ada pesanan ringkas yang masuk dalam peti inbox.
Aku kerling sekilas. Sempat melihat nama penghantar pesanan. Aku mengeluh
berat. Malah, sempat juga mencebik. Bukannya aku tidak suka. Masih
terngiang-ngiang kata-kata mereka sejam yang lalu semasa di pejabat tadi. Masih
bernanah lagi. Sakit hati aku ini ada siapa yang mahu ambil peduli?
Kereta
kancil sudah selamat memarkir di tingkat atas sekali pusat membeli-belah
terkemuka Mid Valley Megamall. Tapi, sebenarnya aku hendak berkunjung ke pusat
rawatan dan dandanan rambut yan terletak di pusat membeli-belah The Garden,
yang terletak setentang dengan Mid Valley Megamall sahaja. Ironinya, aku suka
parkir kereta di sini. Sudah biasa dengan jalan yang kecil dan sempit ini.
Berbanding di tingkat bawah atau di The Garden sendiri, yang luas dan banyak
pilihan. Aku boleh sesat di situ dan tidak bertemu dengan kereta kancil
kesayanganku yang sudah berusia hampir lapan tahun ini.
Selesai
mematikan enjin kereta, aku ambil telefon bimbit di tepi pintu kanan kereta.
menilik dan berfikir seketika sebelum membaca pesanan ringkas daripada Ju,
rakan sekerjaku tadi. Aku mengeluh kecil. Terasa bersalah pula dengan sikapku
sebentar tadi. Pesanan yang baru aku buka itu aku baca lantang sekali.
“Nira,
aku minta maaf. Tak bermaksud untuk buat kau tersinggung. Tiada niat jahat atau
berharap yang buruk-buruk pada cinta kamu berdua. Iya, mungkin aku sedikit
cemburu pada kebahagiaan kau. Tapi, Nira…aku tak berniat apa pun. Aku cuma mahu
tumpang gembira di atas kebahagiaan kau. Seandainya kau perlukan kawan,
percayalah aku sentiasa ada di sisi kau. Maafkan aku.”
Aku
mengeluh lagi. Aku tahu Ju tidak berniat buruk pun. Aku yang terlebih emosi
tadi. Lalu, butang kekunci ‘balas’ aku tekan dan menaip teks dengan kedua-dua
ibu jariku. Laju sekali. Selesai sahaja, aku baca semula.
“Ju,
aku pun minta maaf. Faham sebenarnya tujuan kau. Tapi, aku ni memang jenis yang
terlebih sensitif apabila bercakap soal kekasih aku. Aku tak suka orang pandang
buruk padanya. Apatah lagi mengganggu-gugat keharmonian hubungan cinta kami.
Aku maafkan kau dan harap kau juga maafkan aku. Mengertilah dan restuilah cinta
kami.”
Seketika,
aku cukup berpuas hati dengan teks yang dikirim lewat Samsung S4 berwarna merah
jambu dan ditutupi casing berwarna
yang sama dengan potret aku dan Mikael yang ditempek di dalam penutup casing.
Laju,
langkah kaki aku atur ke seberang jalan, melintasi jejantas penyambung Antara
kedua-dua pusat membeli-belah ini yang terletak di aras tiga. Dinding cermin di
sepanjang laluan memudahkan penglihatan pada barisan kereta yang berduyun-duyun
memasuki kedua-dua gedung terkemuka ini. Begitu juga manusia-manusia yang
berjejeran di ruang bawah itu membawa haluan dan tujuan masing-masing, seperti
aku.
Tak
semena-mena, langkah kakiku terhenti. Hampir sahaja aku jatuh tersadung. Nasib baik
sempat menerkapkan tanganku pada dinding kaca di sebelah kanan. Menahan
tubuhku. Hampir tertolak oleh orang di belakang aku yang tiba-tiba terkejut
dengan langkahku. Mataku mencerlung pada pejalan kaki di tingkat bawah. Ada
sesuatu yang menarik perhatianku.
‘Tak
mungkin,’ bisik hatiku, berulang kali. Tapi, mata ini masih belum rabun. Di
kejauhan itu, aku masih boleh nampak dengan jelas susuk tubuh yang sangat aku
kenali. Langkahnya laju. Seakan-akan mengejar sesuatu. Kemudian, dia mengangkat
tangan, melambai dan melaung serentak. Degup jantungku terasa kencang. Benarkah
dia yang aku lihat sekarang? Walau hanya dari sudut pandangan sisi, aku yakin
wajah itu kepunyaan dia. Lelaki yang sangat-sangat aku rindui.
“Mikael!”
terjerit aku menitikan nama itu di bibir. Hampir terlupa aku berada di jejantas
atas. Menjerit macam mana pun, mana dia boleh dengar. Entah kenapa akalku
mengajak langkah mahu mendapatkan dia. Apa tunggu lagi? Aku melangkah dua tapak
tanpa berkalih daripada tubuhnya. Sesaat langkah terhenti. Anak mata terbuntang
tanpa sedar. Debar di dadaku seakan terhenti sama. Mikael sudah bersama
seseorang. Seorang perempuan, berjubah merah, bertudung likup berwarna putih.
Sibuk membimbit dua beg plastik yang besar dan tampak sedikit sarat. Mikael sedang
mengambil kedua-dua beg plastik itu. Senyuman kedua-dua mereka, membadai gelora
di hatiku. Terasa menggigil seluruh tubuh ini. Sejuk sekali.
Tapi,
anak mataku masih terpaku pada kedua-dua makhluk Tuhan itu. Akalku semakin
ligat mengamati si gadis bertudung putih. Wajahnya tampak jelas sekali. Namun
tidak aku kenali. Mungkin sepupu atau saudaranya yang lain? Akal mula memujuk
hati agar jangan bergundah lara di sini. Bukankah Mikael masih dalam pesawat
tika ini? Begitu aku meyakinkan hati.
Aku
tarik nafas dalam-dalam. Mengusir sangsi yang terjemput tadi. Mikael sudah
membelakangkan tubuhnya. Sehingga aku tidak begitu pasti. Baju kemeja
berkotak-kotak putih dan ungu, tidak pernah aku lihat sebelum ini. Lima tahun
berjauhan, mungkin banyak yang telah berubah. Termasuk penampilannya. ‘Hatinya
juga boleh berubah. Oh, tidak! Aku lontar jauh rasa sangsi yang mula menggigit
hati.
Mereka
sudah menapak beriringan. Aku mahu mengikuti langkah itu. Mahu menepis ragu dan
merembat kembali rasa yakin yang seakan terbang bersama hembusan angin.
Perlahan-lahan, aku menapak sambil mengamati langkah mereka. Namun, sekali
lagi, hampir gugur jantungku dari tangkainya. Apabila mereka berdua berhenti
dan bertegur sapa. Bergilir-gilir bersalam dan mencium tangan wanita di hadapan
mereka. Wanita yang aku kenali sangat-sangat. Wanita yang tidak pernah
mengenali diriku.
“Oh,
tidak! Tak mungkin ini terjadi,” gumamku sendirian. Terkial-kial tanganku di
awangan. Rasa tidak keruan sekali. Apa yang harus aku lakukan? Tidak mungkin
aku silap lagi apabila wanita yang berstatus terhormat dengan gelaran ‘mama’
sudah muncul bersama mereka? Seketika, akalku menjentik sesuatu. Lalu, tanganku
menggagau ke dalam beg bimbit. Mencari telefon Samsung S4, sahabat karibku.
Bergetar tangan ini saat menggenggam telefon itu. Malah, hampir tak tahu
bagaimana hendak mencari nombor telefon Mikael. Juga berbelah bahagi mahu
mendail nombor Jordan atau nombor peribadi yang lama. Padahal kebiasaannya, aku
hanya menekan speed dail sahaja.
Sempat aku ketuk kepala sendiri, memarahi kebodohan yang berlaku seketika ini.
“Ya
Allah, tolonglah hambaMu ini. Janganlah Engkau ambil dia daripada hidupku, Ya
Allah.” Bibirku terkumat-kamit menadah doa. Sambil menanti panggilan
disambungkan. Telefon diterkap ke telinga, mulut tak henti berdoa dan berdoa,
anak mata tetap pegun memanah dari kejauhan. Riak wajah sungguh cemas sekali.
Terbias jelas di arca dinding cermin jejantas ini.
Namun,
kala panggilan dihubungkan terus kepada pesanan suara, entah kenapa aku berasa
lega sangat-sangat. Sedangkan aku masih belum mampu untuk membayangkan apa yang
akan dilakukan sekiranya lelaki yang nun di seberang sana turut mengangkat
telefon dan memandang kiri dan kanan. ‘Mungkin bukan dia. Mungkin pelanduk dua
serupa. Mungkin dia ada saudara yang seiras dengannya,’ bisik hatiku mahu
meyakinkan semula. Dalam pada itu, nombor telefon Mikael, aku dail sekali lagi.
Tetap tiada jawapan. Aku hampa sangat.
Aku
kalih pandangan pada telefon bimbit, menitipkan teks dalam peti pesanan Mikael.
Berharap dia akan menelefonku terus setelah mendarat. Setelah pesanan dihantar,
aku angkat muka semula. Tiada! Mereka sudah tiada di hadapan aku. Anak mata
mula melingas mencari kelibat tiga orang tadi. Tapi, sia-sia lagi. Bayang
mereka pun tidak kelihatan lagi. Perasaan curiga masih bersisa dalam diri.
Sehingga aku tercengat lama berdiri memerhati. Mungkin, masih menanti andai
mereka kembali semula ke situ.
Dalam
keadaan gusar dan penuh tanda tanya, aku hanya mendengar amoi Cina ini
menerangkan apa yang hendak dia lakukan yang terbaik ke atas rambutku. Katanya,
ini fesyen terkini dan rambutku yang tidak terlalu lurus memang sesuai dibuat
ala-ala ikal mayang. Itu sahaja yang aku ingat. Sebab yang lain hanya masuk
telinga kanan keluar telinga kiri.
Aku
tak sedap hati lagi. Masih memikirkan kejadian tadi. Kalau ikutkan, aku sudah
tawar hati hendak membuat dandanan rambut. Tapi, ada sesuatu dalam hati ini
yang masih meyakini. Masih teguh terpacak utuh dalam sanubari. Kasih, cinta dan
kepercayaan. Itu yang pasti. Sebab itu, aku tetap meneruskan niat. Demi lelaki
yang sangat aku cintai.
Hampir
sejam berlalu, bau-bauan daripada bahan-bahan rawatan yang diguna pakai,
benar-benar menusuk ke rongga hidungku. Terkepit-kepit jemariku bergilir-gilir
memegang hidung sendiri. Majalah di tangan pula langsung tidak menambahkan
minat. Pantas, aku capai telefon bimbit. Masih memeriksa. Manalah tahu Mikael
sudah membalas pesanan daripadaku. Sungguhpun, aku berharap sangat dia takkan
balas.
Seketika,
saat aku angkat kepala menatap wajah di cermin hadapan, kelibat seseorang di
luar kedai terbias di sebalik wajahku. Di belakang aku. Serta-merta, aku kalih
tubuh. Benar! Aku nampak seseorang yang hanya menampakkan tubuh belakang.
Lantas aku bangkit dari kerusi yang selesa diduduki hampir sejam lamanya.
“Amoi,
jangan bangun. Masih belum selesai,” terkejut sebentar amoi Cina itu seraya
memegang bahuku. Tuala yang diletak di atas bahu, terjatuh disebabkan
kekasaranku. Tanpa memandang amoi Cina itu, aku meninggalkan majalah di atas
kerusi yang aku duduki itu.
“Maaf
cik. Sekejap, saya nak tengok seseorang,” aku meluru ke pintu. Anak mataku
melingas dengan pantas sekali. Mencari-cari kelibat lelaki yang aku nampak
tadi. Begitu yakin bahawa susuk tubuh itu kepunyaan Mikael. Apatah lagi baju
berbelang merah dan biru yang dipakai pemuda tadi adalah hasil tenunan tanganku
sendiri. Bagaimana aku boleh lupa? Sekali pandang pun aku tahu itu baju yang
aku kait untuk Mikael sebelum dia berangkat ke Jordan. Aku kait sebagai tanda
cinta. Penuh dengan limpahan kasih sayang.
‘Tak
mungkin,’ desus dalam hatiku. Liar mataku melingas sekali lagi. Pemuda itu
sudah tidak kelihatan. Namun, seluruh tubuhku kembali berasa sejuk. Aku
melangkah perlahan ke kerusi yang aku tinggalkan tadi. Amoi Cina yang berbisik
sesuatu langsung tidak aku endahkan pun. Akalku jauh mengamati apa yang baru
terjadi.
Ada
sudah air mata yang gugur setitik. Aku terkap tapak tangan ke dada. Mengurut
berkali-kali. Memujuk agar jangan runtuh lagi. Tak mungkin Qhir Mikael sudah
balik. Dia masih dalam pesawat. Begitu aku meyakinkan hati. Seketika, ada
sesuatu yang memanah ke dalam akal. Lantas membuat aku tersenyum.
‘Iya,
tak mungkin Mikael. Kalau Mikael yang pakai baju kemeja berpetak-petak tadi,
tak mungkin pula Mikael juga yang memakai baju berbelang merah biru itu. Takkan
dia boleh berada di tempat yang sama berlainan baju? Sah! Pasti bukan Mikael.’
Hatiku semakin ceria mengiyakan hujah akal.
‘Tapi,
kalau bukan Mikael, siapa pula yang pakai baju merah biru yang aku kait itu?
takkan ada orang yang kait baju yang sama dengan corak yang sama seperti aku?’
hati pula mula berbisik ragu.
‘Ah!
Pedulilah. Pasti bukan Mikael,’ akhirnya, aku putuskan begitu. Aku pejam mata
rapat-rapat. Berdoa sangat-sangat lelaki itu bukan Mikael. Walau ada gundah
yang mengetuk sejak kejadian di jejantas tadi masih belum menghindar pergi, aku
hanya biarkan rasa itu berdiam di dalam hati. Janganlah mampu mengganggu
ketenangan hatiku.
Oh tidak! tidak. tidak. tidak. tk suka. tk suka
ReplyDelete