Thursday, 24 April 2014

Jujur Aku Cinta Kamu (JACK) (Prolog)

Prolog

“Aku masih tak percaya yang Amsyar di hadapan aku ni memilih minah selenga tu!” seorang lelaki yang hampir seusia Amsyar bersuara disusuli dengan deraian tawa daripada tiga lagi pemuda yang bersama mereka.

“Tolong cubit aku bro, mana tahu aku sedang bermimpi sekarang ni,” pemuda di sebelah pemuda bernama Amsyar berkata dengan gaya menyuakan lengannya kepada teman di sebelah.


“Dahlah selenga, bendul pulak tu!” tingkah pemuda berbaju biru.

“Dahlah bendul, kolot pulak!” tokok pemuda yang berbaju kuning sambil mulut dijebikkan.

“Zalikha kau tu, kau nak letak celah mana bro? Dia tahu tak?” tanya pemuda berbaju biru lagi.

“Aku bukan serius dengan minah kolot tu. Bila aku dapat apa yang aku nak nanti, pandai-pandailah aku putuskan pertunangan ni,” pemuda bernama Amsyar meningkah. “Zalikha cool aje, lagipun apa yang aku buat ni untuk dia juga,” terang Amsyar tanpa berselindung.

“Keluarga kau macamana bro? Mereka tahu tak rancangan kau ni?” tanya pemuda bersebelahan Amsyar pula.

Asap rokok yang berkepul-kepul hasil hembusan kelima-lima pemuda tersebut menghadirkan ketidak puasan hati pengunjung-pengunjung lain. Jelingan dan deheman tanda menegur secara halus langsung tidak dihiraukan oleh mereka.

“Keluarga aku sayang sangat dengan minah kolot tu. Ah! Pandailah aku reka cerita nanti. Yang penting, tanah di pinggir bandar tu jadi milik aku.” Amsyar berkata dengan angkuhnya.

“Kau biar betul bro,” tingkah pemuda pertama tadi.

“Rm 2.4 million bro! Untuk dapat tanah tu, aku sanggup buat lebih dari yang sekarang,” melopong mulut keempat-empat rakan sekepalanya. “Jika aku yang urus projek kat situ, 12 million dalam tangan. 12 million bro! Gila aku nak lepas!” sambung Amsyar lagi.

“Wow! Jutawan rupanya tunang kau tu. Biarlah buruk sikit, janji ini…” pemuda berbaju kuning menggesel-geselkan ibu jari dengan telunjuknya. Deraian tawa dari lima sahabat itu semakin menjadi-jadi.

“Betullah! Akupun tak ada selera dengan minah tak cukup otak tu. Yang dia tahu angguk dan geleng saja. Kalau lama aku dengan dia, aku pun naik sewel macam dia!” kelima-lima mereka menyambung ketawa seakan dunia ini mereka yang punya.

“Tapi perempuan bodoh macam minah tu senang nak kawal bro. Apa yang kau cakap semua dia ikut. Kau juga yang untung,” pemuda berbaju biru pula berkata disusuli anggukan rakan-rakan yang lain.

“Masalahnya, aku yang kena mengadap muka dia setiap hari. Eee… tak sanggup aku! Nak tengok sepuluh minit pun dah tak sanggup. Eee…” dengan lagak dalam kegelian, kata-kata Amsyar diiringi dengan ketawa dari ke empat-empat rakan karibnya.

Sementara di sebalik dinding pemisah meja makan mereka dengan meja makan bersebelahan, sekeping hati sedang terguris luka. Setitis demi setitis air matanya menuruni pipi.

“Begini rupanya pandangan sebenar dia kepadaku…” rintihnya perlahan.

“Menerima aku hanya kerana sebab itu… buruk sangatkah rupa aku? Bodoh sangatkah aku?” Dia memusing-musingkan cincin pertunangan yang tersarung di jari manisnya. Manik-manik halus menitik tanpa dapat disekat lagi.

Walaupun pertunangan tersebut di atas permintaan keluarga, gadis itu tetap menerima dengan hati terbuka. Mengharap, dengan adanya restu kedua belah keluarga, hubungan yang bakal terjalin akan kekal bahagia sehingga hujung nyawa.

Gadis itu memejamkan mata lalu menarik nafas yang dalam. Air mata yang masih bersisa dikesat menggunakan belakang tapak tangan. Sekali lagi dia menarik nafas yang panjang dan dalam lalu melepaskannya perlahan-lahan.

“Tapi, kau yakin ke boleh singkirkan minah tu dengan mudah? Orang tua kau mesti tak lepaskan, jika kau buat hal nanti,” pemuda di sebelah Amsyar memecah hilaian tawa yang tidak berhenti dari tadi.

“Kacang aje tu. Ini Amsyarlah. Jangan panggil aku Amsyar jika aku tak dapat apa yang aku nak!” Amsyar menepuk-nepuk dada.

Sedang enak mengungkit kemegahan diri sendiri, kerusi yang diduduki Amsyar dilanggar seseorang.

“Weh! Ada mata tak?” Amsyar bangun lalu mengelap baju yang tersimbah air yang sedang diteguk.

“Maaf… maaf… saya memang sengaja. Maklumlah saya ni kan bodoh. Memang suka buat salah!” kelima-lima pemuda di hadapan gadis itu diam tidak berkutik melihat keselambaan gadis tersebut. Selamba saja dia mengibas-ngibas kain baju kurung yang dipakainya kerana sedikit basah terpercik tumpahan air dipegangan Amsyar tadi.

Tanpa disangka, gadis tadi mencapai sebiji gelas yang masih berisi separuh air di dalamnya lalu menuangkan ke atas kepala Amsyar. “Opsss… maaf sekali lagi. Saya memang sengaja!” Gadis itu berkata dengan begitu selamba. Sebuah flying kiss dilayangkan kepada kelima-lima pemuda di hadapannya sebelum berlalu pergi.


1 comment:

  1. hahahaha.... rasakan..ingat senang senang nk dpt 2.4m...bagus...teruskan, saya suka

    ReplyDelete