Bab
1
Anak
jari tidak pernah sepantas ini. Menyentuh butang di komputer sebelum terus ke
monitor. Serta-merta, skrin monitor yang terang-benderang tadi bertukar gelap.
Hitam pekat. Belum puas lagi. Longgokan pen, pensil dan alatan tulis yang lain,
diserkup penuh oleh jari jemari. Sekali genggam sahaja. Dimasukkan ke dalam
uncang yang ternganga sedari tadi. Kemudian, dizip uncang merah itu dan
dimasukkan ke dalam laci meja. Setelah itu, kertas-kertas yang menimbun,
dimasukkan pula ke dalam beberapa fail yang tersedia di atas meja.
“Amboi,
lajunya kau berkemas,” tiba-tiba sahaja seseorang muncul di hadapan meja. Aku
buat tidak peduli. Semakin ligat juga tanganku meneruskan apa yang aku lakukan
sedari tadi. Kerja-kerja mengemas meja di tempat kerjaku yang terlalu jarang dilakukan
selama ini.
“Cuti
kau dah luluskah?” soalnya lagi. Aku angguk serta-merta. Puncher di hujung meja, aku rembat dan bawa ke kertas. Menekan
sekali. Selonggok lagi kertas, aku bawa ke tangan, dan menekan puncher lagi. Anak mata seketika
terhenti pada seorang rakan sekerja yang tanpa dijemput, sudah duduk di kerusi
di hadapan mejaku.
“Kalau
tak lulus, takdalah aku berkemas nak balik ni,” ujarku, acuh tak acuh.
“Berapa
hari kau minta? Lulus semua sekalikah?” tokoknya lagi. Aku angkat jari tiga.
Dia membulatkan matanya dan hampir terdorong tubuhnya ke depanku. Aku ketawa
tipis. Mengangguk juga. Menjawab soalan yang keduanya pula.
“Hish!
Ini mengalahkan orang yang ambil cuti kahwin. Kau nak sambut buat hati sampai
tiga hari atau kau nak buat majlis nikah sekaligus?”
Nasib
baik ada meja di antara kami. Kalau tidak, sudah aku tendang kakinya atau cubit
lengannya. Tapi, sempat juga aku ambil kotak tisu di meja tepi dan baling ke
mukanya. Dia sambut dengan pantas seraya ketawa. Senang hati dapat menyakat aku
agaknya.
“Wah,
garangnya Cik Nira ni. Baru usik sikit dah lempar kotak tisu, kalaulah usik
banyak, agak-agak boleh kena terkam tak?”
“Nak
tahu, cubalah. Sini ada telefon, ada monitor, atau dengan CPU sekali aku boleh
hempuk. Pilihlah nak yang mana?” balasku, melayan kerja-kerja menyakatnya itu.
Dia kelihatan senang hati. Tetap ketawa tak henti-henti.
“Ini
baru usik Nira, kalau usik encik abangnya, agak-agak…”
Tak
sempat habis ayatnya. Berdentum meja aku hempuk dengan fail yang dijatuhkan
kasar. Terkejut dia. Hilang senyuman nakal tadi. Tak cukup dengan itu, aku
hadiahkan dia panahan mata yang sangat tajam. Wajahnya berubah riak. Sempat
pula aku lihat dia telan air liur. Ha! Kecut pun.
“Eleh,
kau buru-buru nak bercuti atau kau tak sabar nak jumpa buah hati?” Dia gagahkan
diri juga menyambung usikannya tadi. Mungkin sebab dia kenal aku. Aku nampak
garang di luar sahaja sedangkan ramai orang kata, hatiku sangat-sangat lembut.
Iya kah? Mungkin betul juga. Kalau tidak takkanlah lelaki di Jordan itu jatuh
cinta pada aku. Hish! Angau dah pula ni.
“Merahnya
muka kau. Selalunya kau tak malu pun bila cakap pasal lelaki di tanah Jordan
tu,” ulasnya lagi. Tak henti-henti menyakat aku. Aku herotkan senyuman tipis.
Aku sebenarnya tidak berminat mahu bersembang. Tapi, bila topik yang diutarakan
itu adalah berkenaan dengan kekasih hatiku, maka akulah pendokong utamanya.
“Ah,
kau ni. Ada-ada saja nak usik aku. Apasal aku nak malu pula? Dia buah hati aku.
Kekasih, jejaka pilihan Malaya aku, pengarang jantung aku…”
“Iyalah,
iyalah… macamlah kami tak tahu. Walau tak pernah jumpa dia, dah rasa macam dah
kenal pun. Kau tak pernah berhenti bercakap pasal dia, kan?” tukas rakan itu.
Mengerling seketika padaku. Sempat pula merembat puncher dari tanganku.
Aku
baru sahaja mahu membuka mulut, terkatup serta-merta kala seorang lagi rakan
berdiri tercengat di depan pintu bilik pejabatku.
“Mana
Nira nak berhenti cakap. Itu je yang dia tahu. Cintakan lelaki itu
sangat-sangat,” tekan rakan yang baru muncul itu, sambil menjuihkan bibirnya
kepadaku. Rakan yang sedang duduk di hadapan pula sempat menoleh. Mengangguk
dan menaikkan ibu jarinya sebagai tanda thumbs
up. Menyokong idea rakan itu.
Aku
sedikit pun tak terasa tersindir dengan teguran mereka. Malah, aku layan habis
gurauan itu. ‘Bawalah satu bahtera pejabat ni pun, aku tak hairan. Jealouslah tu,’ hati penuh bangga sudah
mula berbisik. Lancang betul bahasanya.
“Salahkah
kalau aku cintakan dia sepenuh hati?” desisku, seraya menolak fail di
hadapanku. Berhenti seketika daripada menekuni kerjaku. Anak mata dua rakanku,
dijamah mata ini silih berganti.
“Tak
salah. Tapi, kau tu terlalu percayakan dia.” Rakan yang baru muncul itu sudah
menapak, mendekati. Aku geleng kepala. Terasa cetek betul pemikiran rakan-rakan
sekerjaku ini. Tubuh ini sudah bersandar di kerusi kulit yang diduduki.
Bersedia untuk melayangkan hujah pidato yang paling ampuh sekali. Kedua-dua
tanga sudah disilangkan. Tidak mereka nampak, kakiku turut bergoyang-goyang.
Bukannya aku angkuh. Sekadar terlalu yakin. Ada beza, tau!
“Aku
dah lapan tahun bercinta dengannya. Dia yang pertama bertakhta di hatiku.
Takkan ada orang lain lagi. Kalau setakat percaya, itu terlalu kecil nilainya bagiku.
Lagipun, dia memang berhak dipercayai. Selama lima tahun dia pergi, dia tidak
pernah lupakan aku. Sentiasa pm dalam
inbox fb. Whatsapp dan wechat tak
payah nak cerita lagi. Kamu pun tahu. Aku pernah tunjuk, bukan sekali.”
“Betul
tu Nira. Tapi, jangan lupa jodoh itu ketentuan Allah. Dia yang aturkan dan dia
sudah tetapkan siapa suami kita nanti…”
“Maksudmu,
aku tidak boleh memilih siapa yang harus aku cintai? Begitu?” tekanku, sudah
berdiri dari kerusi. Tiba-tiba sahaja terasa panas, atau mungkin kena kejutan elektrik
oleh rakan-rakan ini. Panas seluruh tubuhku. Lebih hangat lagi hatiku.
Rakan
yang sedang duduk sempat menyiku kaki rakan yang sedang berdiri di sisinya. Mereka
berpandangan antara satu sama lain. Ternyata mereka tidak menduga itu daripada
aku. Kala anak mata mereka menatap wajahku, ada keluhan kecil yang sempat
menerkap di pendengaran. Turut jelas di penglihatan. Mataku masih tetap meliar
menikam ke dalam anak mata mereka. Wajahku tetap tegang. Walaupun aku bukan
jenis yang suka melenting, tapi aku tak suka apabila mereka seolah-olah tidak
merestui hubungan cintaku. Tidak meyakini hakikat cinta kami.
“Kenapa
diam…Ju… Yanti?” tuntutku, menyebut nama mereka silih berganti. Bermula pada
sahabat yang berdiri. Juga pada sahabat yang tertunduk di kerusi. Tanganku,
kejap menekan meja sendiri. Menahan amarah yang terjemput oleh dua rakkanku
ini.
“Bukan
itu maksud aku. Kami cuma mahu kau simpan juga satu ruang dalam hati kau untuk
dikecewakan. Manalah tau…” bergetar suara itu. Malah, hampir sahaja tak terluah.
Mendatar dan sekadar sayup-sayup melinggar di pendengaran.
“Oh,
mula-mula kamu nak aku supaya tidak percayakan Mikael. Sekarang kamu doakan
agar aku dikecewakan olehnya? Sahabat apa kamu ni?” berderau darahku memintas
ayat yang terkeluar dari mulut Ju.
“Nira,
janganlah fikir sampai negatif macam tu…” Yanti sudah bangun dari kerusi.
Suasana yang bersulam suka tadi telah bertukar duka nampak gayanya. Lengan Ju
dipegang kemas. Sempat menarik berkali-kali. Seakan menegah rakan itu agar
tidak meneruskan bicaranya lagi.
“Siapa
yang fikir negatif sekarang ni? Siapa yang cemburukan kisah cinta aku? Kalau
kau pernah putus cinta, jangan pengaruhi orang lain agar menerima nasib yang
sama seperti kau!”
Wajah
Ju berubah. Matanya mula berkaca-kaca. Aku tahu bahasaku kasar sangat. Kalau
dia boleh tersinggung, sesungguhnya aku juga seperti itu.
suka sangat. tak sbr tnggu reaksi Nira bila kekasihy dkebas org.
ReplyDelete