Wednesday, 30 April 2014

Jujur, Aku Cinta Kamu (Bab 3)

Bab 3

“Ingat Isya, dalam ikatan perkahwinan, tolak dan ansur itu amat perlu.”Aisya Umaira sekadar mengangguk. Di dalam keadaan masih berteka teki akan penerimaan suaminya, Aisya Umaira tidak berani memberi jaminan.

“Ibarat memegang dua hujung seutas tali, jika suami menegangkan, isteri haruslah mengendurkan tali itu. Jika kedua-dua menarik, tidak mustahil tali itu akan putus,” umi tidak putus menitipkan pesanan kepada puteri sulungnya itu.

Walaupun bukan lahir dari rahimnya sendiri, kasih sayang Umi kepada Aisya Umaira tidak perlu dipertikaikan lagi.

Monday, 28 April 2014

JEBAT - Hero Hikayat Cinta (Bab 3)

Bab 3

Dira di dalam bilik seperti cacing kepanasan. Entah kenapa dia juga tidak selesa dengan teater muzikal kali ini. Cerita kisah percintaan Penyair Bidasari yang hanya sebagai teman pengiring Tuan Puteri Lemah Gemalai yang akhirnya jatuh cinta dengan Panglima yang dikenali ramai dengan Hang Tuah. Rasa cinta yang mekar di hatinya kala rindu jika tidak bertemu.  Apakah disebabkan mereka membawa watak itu, hingga timbul perasaan sayang dalam diam? `Arhhh, entah-entah aku sahaja yang rasa begitu. Orang di sana entah apa yang difikirkan.’ Tersenyum Dira sendirian.

Saturday, 26 April 2014

Jujur, Aku Cinta Kamu (Bab 2)

Bab 2

Malam itu, sepatutnya malam istimewa bagi Aisya Umaira bersama suami, tetapi suaminya memilih untuk mengikut keluarganya pulang dan akan datang keesokan harinya. Tidak mustahil esok, selepas majlis kesyukuran, suaminya akan pulang juga bersama keluarganya.

Aisya Umaira menarik nafas panjang. Ke manakah hala tuju hidupnya selepas ini? Memang beginikah nasib seorang gadis yang bernikah di atas aturan keluarga? Mungkinkah luka lama akan berdarah kembali?

Andai itu terjadi, sudah pasti lukanya akan lebih pedih dari sebelum ini. Dahulu, Aisya Umaira sekadar tunangan orang. Tetapi sekarang, Hubungan itu sudah melangkah lebih jauh. Andai terlerai ditengah jalan, pasti lukanya akan lebih dalam.

KEKASIH aku DIKEBAS orang! (Bab 2)

Bab 2

Anak mataku melirik ke jam di dashboard kereta. Tinggal empat jam lagi Mikael akan sampai. Masih sempat kalau aku singgah di pusat membeli-belah. Teringin pula nampak cantik di hadapan kekasih hati. Walaupun, aku tahu dia sentiasa menerima apa pun seadaku.

Kereta kancil pemberian abangku, sudah mula memasuki Mid Valley Megamall sewaktu telefon aku menjerit-jerit lagu Semalam Tanpamu dendangan Stacey dan KRU menandakan ada pesanan ringkas yang masuk dalam peti inbox. Aku kerling sekilas. Sempat melihat nama penghantar pesanan. Aku mengeluh berat. Malah, sempat juga mencebik. Bukannya aku tidak suka. Masih terngiang-ngiang kata-kata mereka sejam yang lalu semasa di pejabat tadi. Masih bernanah lagi. Sakit hati aku ini ada siapa yang mahu ambil peduli?

Friday, 25 April 2014

JEBAT - Hero Hikayat Cinta (Bab 2)


Usai solat maghrib, Dira ke dapur menolong maknya menyediakan makan malam untuk mereka sekeluarga. Abah baru saja pulang dari kerja. Abang masih di hadapan, menonton televisyen. Setelah siap semua terhidang di atas meja, Dila memanggil ayah dan abang.
          
“Mak, abah, abang… makanlah. Dira tak makan… `diet’,” terang Dira.

Mak, abah dan abangnya begitu faham dengan perangai Dila. Mana mahunya makan malam dan abangnyalah yang menjadi mangsa menghabiskan lauk-pauk itu. Dira yang sudah berada di ruang tamu menjengah kepalanya menghala ke luar beranda rumah, seakan terdengar namanya di seru-seru. `Isk… maghrib pun tak habis waktu lagi dah nak menakut aku’ ngomel Dira sendirian. Melingas matanya ke kiri dan kanan.

Jujur, Aku Cinta Kamu (JACK) (Bab 1)

Bab 1

Suasana hingar-bingar di ruang tamu dengan gelak ketawa dan perbualan kedua-dua belah keluarga terhenti. Semua mata dan telinga tertumpu kepada pengantin lelaki yang segak berbaju melayu putih gading. Tertib duduk beralaskan sebiji kusyen tebal berbentuk bulat sementara tangannya kemas dalam genggaman lelaki berserban juga memakai pakaian serba putih.

“Sah?”

“Sah!”

“Sah!”

Lelaki berserban mengangkat tangan dan memulakan bacaan doa. Usai bacaan doa, pengantin lelaki bangun dari tempat duduknya menuju ke bilik pengantin untuk menunaikan solat sujud syukur.

KEKASIH aku DIKEBAS orang! (KADO) (Bab 1)

Bab 1

Anak jari tidak pernah sepantas ini. Menyentuh butang di komputer sebelum terus ke monitor. Serta-merta, skrin monitor yang terang-benderang tadi bertukar gelap. Hitam pekat. Belum puas lagi. Longgokan pen, pensil dan alatan tulis yang lain, diserkup penuh oleh jari jemari. Sekali genggam sahaja. Dimasukkan ke dalam uncang yang ternganga sedari tadi. Kemudian, dizip uncang merah itu dan dimasukkan ke dalam laci meja. Setelah itu, kertas-kertas yang menimbun, dimasukkan pula ke dalam beberapa fail yang tersedia di atas meja.

“Amboi, lajunya kau berkemas,” tiba-tiba sahaja seseorang muncul di hadapan meja. Aku buat tidak peduli. Semakin ligat juga tanganku meneruskan apa yang aku lakukan sedari tadi. Kerja-kerja mengemas meja di tempat kerjaku yang terlalu jarang dilakukan selama ini.

Thursday, 24 April 2014

JEBAT - Hero Hikayat Cinta (Bab 1)


“Wei! Penyair Bidasari. Jangan kau bertingkah begini! Berpijak di bumi, ikut resmi padi. Derhaka pada sang guru ya. Ku panggil Hang Tuah, meminjam keris sakti... hukuman harus setimpal. Mahaguru tidak dikenali?” lirih suara Puteri Lemah Gemalai menegur sahabatnya.

“Wahai Puteri Lemah Gemalai, sanggup kau menikamku dengan keris sakti kepunyaan Hang Tuah. Di mana kata janjimu...? sahabat tetap sahabat. Walaupun pertelingkahan hanya di sebabkan jeruk mangga,” balas Penyair Bidasari sambil membawa diri. `Dagang Pak Malau, dagang merantau. Dagang aku... terkena santau jeruk manggamu,’ ngomel Penyair Bidasari sekali lagi.

Jujur Aku Cinta Kamu (JACK) (Prolog)

Prolog

“Aku masih tak percaya yang Amsyar di hadapan aku ni memilih minah selenga tu!” seorang lelaki yang hampir seusia Amsyar bersuara disusuli dengan deraian tawa daripada tiga lagi pemuda yang bersama mereka.

“Tolong cubit aku bro, mana tahu aku sedang bermimpi sekarang ni,” pemuda di sebelah pemuda bernama Amsyar berkata dengan gaya menyuakan lengannya kepada teman di sebelah.

Wednesday, 23 April 2014

Grup NIN...gabungan 3 dalam 1

Assalamualaikum,

Terima kasih sekali lagi. Kali ini, jom berkenalan dengan kami terlebih dahulu sebelum kami tampilkan karya masing-masing.

Nur Dila - lebih suka dikenali sebagai penyair bidasari. Minat berpuisi dan banyak tulisan berbentuk puisi. Lebih gemar juga menggunakan bahasa kiasan, berbunga-bunga dan melankolik. 

Peribadi - seorang yang tabah, suka tersenyum dan senang dibawa berunding. Pendek kata, mengenalinya ibarat mengenali seorang kakak. Sebab itu, dalam grup dipanggil sebagai 'along'.

Sedang mengusahakan sebuah novel berjudul Ku Peluk Rindu (Hati Kama) dan sebuah novelet berjudul Jebat-Hero Hikayat Cinta

Intan Hj. Daud atau nama penanya, Intan Yumerza, lebih sukakan cerita yang santai dan berbentuk komedi. Hasil tulisannya menjurus kepada novel cinta romantik komedi. Terlalu suka membaca buku dan mempunyai koleksi novel yang menimbun.

Peribadi - seorang yang sangat santai dan cukup romantis. Sangat menitik beratkan sesuatu perkara, mudah disayangi dan menyayangi. Dalam grup dikenali sebagai 'angah'.

Sedang mengusahakan novel berjudul Sesat Mencari Bahagia dan sebuah novelet berjudul Jujur, Aku Cinta Kamu (JACK)

Nurhidah, tiada nama pena atau nama yang teristimewa. Lebih suka dipanggil dengan nama sendiri. Meminati novel berat, suspen dan cinta air mata. Sebab itu, hasil tulisannya lebih kepada genre sebegitu.

Peribadi - seorang yang serius pada perwatakannya, tetapi panjang akal dan boleh jadi gila-gila juga. Sangat pemurah dari segi ilmu dan harta benda. Namun, bahasa mulutnya sangat kasar dan seorang yang sensitif sebenarnya. Dalam grup, dikenali sebagai 'adik'.

Sedang mengusahakan sebuah novel berjudul Cinta Yang Tersurat (CYT) dan sebuah novelet kontroversi berjudul Kekasih Aku Dikebas Orang! (KADO)

Akhir kata, semoga setia menanti kemunculan hasil tulisan daripada kami bertiga. Terima kasih.


Terima Kasih


ASSALAMUALAIKUM


Terima kasih kepada tuan tanah yang telah memberi 
sepenuhnya hak kepada kami untuk
tumpang entri karya kami di sini.

Terima kasih juga kepada pengunjung yang sudi
jenguk-jenguk
baca-baca
suka-suka
komen-komen
lalu-lalang
tersinggah ke
terbaca ke
tersuka ke
tak suka pun tak apa...
hahaha

Harap diterima sebagai sebahagian daripada
kumpulan penulis baru yang berangan-angan tinggi
mahu memetik bintang di langit
wakakaka