Friday 25 April 2014

Jujur, Aku Cinta Kamu (JACK) (Bab 1)

Bab 1

Suasana hingar-bingar di ruang tamu dengan gelak ketawa dan perbualan kedua-dua belah keluarga terhenti. Semua mata dan telinga tertumpu kepada pengantin lelaki yang segak berbaju melayu putih gading. Tertib duduk beralaskan sebiji kusyen tebal berbentuk bulat sementara tangannya kemas dalam genggaman lelaki berserban juga memakai pakaian serba putih.

“Sah?”

“Sah!”

“Sah!”

Lelaki berserban mengangkat tangan dan memulakan bacaan doa. Usai bacaan doa, pengantin lelaki bangun dari tempat duduknya menuju ke bilik pengantin untuk menunaikan solat sujud syukur.


Tidak jauh dari tempat upacara lafaz ijab dan kabul, Aisya Umaira santun duduk bersimpuh juga di atas sebiji kusyen di sudut pelamin yang bertema biru. Tiada tafsiran yang dapat diungkap daripada riak wajahnya.

Tiada air mata kegembiraan seperti pengantin-pengantin perempuan lain. Tiada jua mimik wajah kebencian atau keterpaksaan, malah tiada riak teruja. Yang ada hanyalah pandangan kosong.

Suasana tenang sebentar tadi kembali hingar-bingar apabila pengantin lelaki menuju ke arah Aisya Umaira. Kotak baldu berwarna merah hati dibuka. Tangan Aisya Umaira diraih lalu sebentuk cincin bertakhtakan sebutir berlian disarungkan ke jari manis. Aisya Umaira tunduk lalu mengucup tangan suaminya buat kali pertama.

‘Ya Allah berkati hubungan kami ini…’ doa Aisya Umaira di dalam hati.

“Isya…” umi yang setia menemani sejak majlis bermula menghulurkan sebuah kotak kecil berwarna biru kepada Aisya Umaira. Di dalamnya, tersedia seutas jam tangan, hadiah untuk suami sebagai pengganti cincin perkahwinan.

Aisya Umaira menjadi serba salah apabila melihat di pergelangan tangan kanan suaminya sudah ada sepasang jam tangan. Aisya Umaira segera menoleh kepada uminya meminta agar dapat memberi jawapan.

Seperti sudah memahami apa yang Aisya Umaira fikirkan, suami Aisya Umaira terus menanggalkan jam tangan di tangannya lalu menyerahkan kepada seorang lelaki yang berada disebelahnya. Dia kemudianya menghulurkan tangannya kepada Aisya Umaira dengan sedikit senyuman.

Bunyi petikan kamera merakam kenangan indah itu bertalu-talu jelas kedengaran. Seketika, pengantin lelaki menyeluk sesuatu dari poket baju melayunya. Seutas rantai tangan emas dikeluarkan lalu tangan Aisya Umaira diraih sekali lagi. Pengantin lelaki memasangkan rantai tangan tadi. Tanpa di sangka, pengantin lelaki menarik tangan Aisya Umaira lebih dekat lalu dikucup seketika.

Sorakan berserta tepukan dari ahli keluarga yang menyaksikan peristiwa indah itu membuatkan suasana ruang sederhana luas tersebut menjadi gamat.

Pengantin lelaki melepaskan sebelah genggaman tangannya dari tangan Aisya Umaira lalu memegang dagu isteri yang baru dinikahinya itu. Sebuah kucupan singgah di ubun-ubun.
Tanpa disedari, setitis mutiara mengalir di pipi Aisya Umaira. Sungguh, dia tersentuh. Aisya Umaira yakin lelaki yang sudah menjadi suaminya ini menerima dirinya bukan sekadar atas permintaan keluarga.

‘Dia ialah imamku mulai sekarang. Aku akan menjadi makmum yang setia kepadanya sehingga akhir hayatku…,’ Aisya Umaira meletakkan azam di dalam hati.

Perlahan, jemari suami Aisya Umaira menyeka air mata yang mengalir dipipi Aisya Umaira.
Matanya merenung tepat anak mata Aisya Umaira. Seketika,kepalanya digelengkan perlahan. Dia kemudiannya tersenyum kembali.

Aisya Umaira seakan memahami bahasa yang di tunjukkan suaminya itu lalu mengukir senyuman. Suami Aisya Umaira mengangguk sebelum menarik tangan Aisya Umaira agar bangun untuk bersalaman dengan ahli keluarga.

Bunyi petikan kamera masih lagi kedengaran. Silih berganti dengan suara usikan dari kaum keluarga. Seperti yang dirancangkan, sebaik sahaja upacara akad nikah dan upacara membatalkan air sembahyang, pasangan pengantin akan bersanding di pelamin yang dihias serba ringkas. Semua itu adalah permintaan Aisya Umaira.

Tiada sebarang ucapan terluah diantara pengantin lelaki dan Aisya Umaira sepanjang persandingan. Yang ada hanyalah aksi-aksi bergambar yang dipinta oleh juru gambar dan kaum keluarga yang mengambil kesempatan mengambil gambar kenangan.

Selesai upacara bersanding dan mengambil gambar kenangan, kedua pengantin diarak ke meja makan beradap. Sesi usik-mengusik yang masih berlarutan hanya disambut dengan senyuman oleh kedua mempelai.

Usai menjamu selera, keluarga pengantin lelaki memohon diri. Esok adalah hari jamuan kesyukuran untuk pengantin.

“Abang balik dulu… esok abang datang lagi…” ayat pertama terluah daripada bibir pengantin lelaki selepas mereka diijab kabulkan. Huluran tangan suaminya disambut lalu dikucup seketika.

Aisya Umaira terkedu. ‘Dia nak balik? Bukankah umi kata dia akan terus bermalam di sini?’ tanya Aisya Umaira sekadar di dalam hati. Berbagai andaian mula berlegar di minda Aisya Umaira. Adakah apa yang berlaku sebentar tadi sekadar lakonan di hadapan keluarga? Perasaan Aisya Umaira mula berbolak balik.

“Isya dapat rasa dia tak sukakan Isya, umi…” luah Aisya Umaira kepada uminya. Umi yang menjadi tempat bermanja setelah Aisya Umaira kehilangan ibu kandung sejak berusia lima tahun lagi.

“Mana Isya tahu? Ada dia bagi tahu Isya?” Aisya Umaira sekadar menggeleng.

“Tapi jelas kedinginan dia…” gadis itu cuba memberitahu apa yang terbuku di hati tetapi segera dipintas.

“Sekarang, dia suami Isya. Sudah menjadi tugas Isya untuk memikat dia. Ingat, syurga Isya berada di telapak kaki dia sekarang. Sudah menjadi kewajiban Isya mengambil hatinya, memudahkan urusan seharianya, menyiapkan keperluan harianya… ” panjang lebar pesanan ibu tiri Aisya Umaira yang dipanggil umi itu.

Walaupun sekadar ibu tiri, umi terlalu sayangkan Aisya Umaira. Kasih sayangnya kepada Aisya Umaira sama seperti kasihnya kepada Fatima Zahra anak kandungnya bersama ayah Aisya Umaira.

“Isya takut dia tak dapat terima Isya, umi. Siapalah diri Isya ni…” luah Aisya Umaira sebak.

“Masih terlalu awal untuk Isya menilai dirinya sayang…” umi mengenggam jemari Aisya Umaira untuk berkongsi kekuatan.

“Isya takut dia menerima Isya hanya kerana terpaksa,”luah Aisya Umaira lagi.

“Tiada siapa yang memaksa untuk dia memasuki keluarga kita Isya. Isya sendiri tahu itu kan?” Umi cuba mengingatkan.

“Tapi…”

“Syyy… jangan terlalu cepat berprasangka yang tidak-tidak Isya,”laju Umi memintas bicara Aisya Umaira .

Di hati Aisya Umaira terdetik keraguan apabila memerhati tingkah lelaki yang baru sahaja sah menjadi suaminya itu. Mungkinkah suaminya ini menerima dirinya sekadar permintaan keluarga atau ada agenda lain disebalik pernikahan ini?

“Jangan cepat mentafsir seseorang Isya...lebih-lebih lagi orang itu suami Isya sendiri,” hanya anggukan yang mampu diberikan sebagai jawapan.“Ingat, Walau apa yang terjadi, Isya harus taat kepada dia. Dia suami Isya.” Umi menggenggam jemari Aisya Umaira.

“Isya perlukan umi…” Air jernih mula bertakung di pelupuk mata.

“Tak… Isya lebih perlukan suami Isya…” bidas umi laju.

“Macam mana jika dia buang Isya?” Aisya Umaira meluahkan keraguannya lagi.


“Umi sentiasa ada untuk Isya…” umi berlalu dari bilik pengantin yang mula terasa membahang dek keraguan Aisya Umaira.

1 comment:

  1. Best... Kalau boleh, nak jer minta satu update setiap hari... Tamak kan... hihihi....

    ReplyDelete